PEMAIN PJ City, Pedro Henrique (kiri) diasak pemain Pahang, Wan Zaharul Nizam di Stadium Darul Makmur.

PENGENDALI PJ City FC, K Devan memuji displin tinggi  dipersembahkan skuadnya itu selepas mengikat Pahang 1-1, malam tadi. 

Beliau berkata, keputusan itu begitu bermakna memandangkan kelab itu bertemu pasukan serba mantap terutama di bahagian serangan. 

"Biarpun kami banyak bertahan pada babak kedua, komitmen tinggi semua pemain berjaya menyekat tuan rumah daripada mengutip tiga mata.  Saya puji semua pemain terutama penjaga gol, Mohd Muhaimin Mohamad yang beraksi cemerlang dan menafikan beberapa percubaan berbahaya Tok Gajah. 

"Saya juga akui sebaik Pahang memasukkan Dickson Nwakaemen pada babak kedua, saya terpaksa menukar taktikal kerana sedar kemampuan penyerang terbabit.  Ternyata, taktikal bertahan yang dilakukan berhasil apabila tuan rumah gagal menambah jaringan," katanya. 

Mengulas prestasi kelab itu dalam lapan perlawanan, Devan gembira dengan pencapaian skuad bimbingannya itu yang bangkit mencatat keputusan positif sebaik liga bersambung. 

Katanya, pencapaian itu bermula dengan kemenangan 1-0 ke atas PKNS FC dan disusuli seri dengan Pahang yang menyaksikan kelab itu berada pada kedudukan terbaik. 

"Tempoh tiga minggu rehat membuktikan bahawa segala kelemahan berjaya diatasi dengan meraih empat mata daripada dua perlawanan.  Namun, enam perlawanan sebelum ini kita hanya tewas tipis 0-1 kepada Perak FELDA United FC (0-1) dan Melaka United (1-2),"katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 April 2019 @ 1:00 PM