Solskjaer bersama pegawai kejurulatihan United dilihat berada di Nou Camp. FOTO EPA/Twitter Manchester United
The Sun

OLE Gunnar Solskjaer dan skuad Manchester United dikendalikannya sudah bersiap untuk berdepan Barcelona pada suku akhir pertama Liga Juara-Juara (UCL) di Old Trafford, Khamis ini.

Malah, pengurus dari Norway itu sempat meninjau aksi skuad Catalan terbabit menewaskan Atletico Madrid 2-0 yang beraksi dengan 10 pemain di Nou Camp.

Jaringan lewat permainan Luis Suarez dan Lionel Messi yang mencapai gol ke-43 musim ini dalam semua pertandingan meletakkan kelab itu selesa mendahului 11 mata ketika saingan La Liga berbaki tujuh perlawanan.

United tidak beraksi dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini menyusun sesi latihan sebelum kunjungan juara lima kali itu ke Old Trafford.

Mereka akan beraksi perlawanan kedua pada 16 April di tempat lawan.

Solskjaer memanfaatkan waktu rehat pemain dan menggunakan sesi latihan sesuai sebelum perlawanan itu berlangsung.

Antara pemain dilihat berada di kompleks latihan Carrington adalah penjaga gol, David de Gea serta dua penyerang, Romelu Lukaku dan Alexis Sanchez.

Sesi latihan pertama membolehkan Solskjaer mendedahkan perancangannya selepas ‘mengintai’ perlawanan Barca, Sabtu lalu.

Sejak undian suku akhir UCL menyusul selepas United menewaskan Paris Saint-Germain, Red Devils tewas tiga daripada empat perlawanan terakhir mereka.

Dia memberitahu laman web kelab itu: ”Kami membuktikan mampu menewaskan mana-mana kelab utama pada hari terbaik sepertimana menyingkirkan PSG.

"Sekali lagi, perlawanan menentang Barca ada pelbagai kemungkinan dan penentuan kemenangan adalah jurang gol”.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 April 2019 @ 5:16 PM