Shafiy juarai Terbuka Thailand ketepi peserta Singapura dan Thailand. FOTO FB MTBC
Nor Hairulnizam Wahid
hairulnizam@mediaprima.com.my


INILAH bintang masa depan dalam pembikinan.

Itu reaksi Kongres Tenpin Bowling Malaysia (MTBC) susulan kejayaan pemain pelapis kebangsaan Muhammad Shafiy Zaim menjulang gelaran Kejohanan Bowling Terbuka Thailand bagi kategori remaja Bawah-21 tahun, malam tadi.

Hanya satu jatuhan pin memisahkan Shafiy daripada naib juara Nikhil Ganggaram dari Singapura apabila membuat 1,735 jatuhan pin berbanding pemain negara jiran itu dengan 1,734 jatuhan pin.

Pingat gangsa milik wakil tuan rumah Lapasdanai Chuasaeng yang melakukan 1,695 jatuhan pin.

Setiausaha Agung MTBC, Maradona Chok berkata ini kejayaan pertama Shafiy di pentas antarabangsa dalam kategori remaja.

“Sebelum ini, pencapaian terbaiknya adalah tempat ketiga di Terbuka Singapura dan kami melihat dia menunjukkan peningkatan demi peningkatan dan mempunyai potensi untuk pergi lebih jauh dalam tempoh satu atau dua tahun lagi,” katanya.

Turut berada dalam kelompok 10 teratas adalah Matthew Ong di tangga keenam dengan 1,633 jatuhan pin dan Wan Syahmi Razin dengan 1,628 jatuhan pin, menduduki tangga ketujuh.

Skuad senior akan bersaing pada kejohanan sama bermula Khamis ini.

Menurut Maradona, daripada skuad 23 pemain itu hanya tiga pemain tidak akan ke Bangkok untuk menyertai Kejohanan Bowling Remaja Asia di Kuching 17 April ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 April 2019 @ 1:38 PM