LIONEL MESSI
AFP

LIONEL Messi memiliki rekod lampau mengucar-kacirkan Manchester United namun Ole Gunnar Solskjaer percaya bukan sesuatu yang mustahil untuk menghalang bintang Barcelona itu daripada terus menghukum mereka pada aksi suku akhir Liga Juara-Juara awal pagi esok.

Messi menjaringkan gol dalam dua aksi final Liga Juara-Juara ketika Barca menewaskan United pada 2009 dan 2011 dan kini bertekad menjuarai kejohanan itu buat kali kelima selepas tersingkir di suku akhir sejak tiga musim lalu.

Bintang Argentina itu kembali mendapat sentuhan berbisanya musim ini, menjaringkan 43 gol daripada 40 perlawanan untuk meletakkan Barca untuk trebel ketiga sepanjang dekad ini.

“Dia seorang pemain yang menakjubkan dan akan dikenang sebagai salah seorang pemain terbaik dalam sejarah,” kata pengendali United, Solskjaer menjelang aksi pertama di Old Trafford.

“Dia pasti sukar dihalang tetapi bukan mustahil. Ia bukannya Messi menentang Manchester United.

“Mereka ada (Luis) Suarez, (Philippe) Coutinho, (Ivan) Rakitic, (Arturo) Vidal, ramai lagi pemain yang bagus jadi kami tidak boleh tumpu kepada seorang pemain. Kami sedar, kami perlu menentang 11 pemain.”

Messi menyatakan sebelum musim ini bahawa sasaran utamanya adalah membawa trofi Liga Juara-Juara kembali ke Calalonia selepas mensia-siakan kelebihan 4-1 untuk tewas kepada Roma musim lalu.

Lebih memedihkan Barca Real Madrid menjulang kejuaraan itu tiga musim berturut-turut.

Bagaimanapun Madrid gagal menempah tiket ke suku akhir tahun ini dan Barcelona dianggap calon pilihan untuk mara ke separuh akhir menentang United yang kini berada di tangga keenam liga meskipun menunjukkan peningkatan prestasi sejak Solskjaer menggantikan Mourinho yang dipecat Disember lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 April 2019 @ 11:27 AM