PEMAIN JDT, Muhammad Safawi Rashid (tengah) diasak pemain Felda United, Mohammad Arif Fadzilah Abu Bakar Muhammad (kanan) ketika perlawanan Liga Super 2019 di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin. Foto Mohd Azren Jamaludin


FELDA United FC sudah melupakan kekalahan 1-3 kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) dan kini fokus melayan kunjungan Kuala Lumpur di Stadium Tun Abdul Razak (STAR), Jengka, Maran, Sabtu ini.

Pengendali The Fighters, Nidzam Jamil berkata, setakat ini, semua pemain menjalani latihan seperti biasa untuk kembali mengutip mata selepas gagal dalam dua perlawanan sebelum ini.

“Tanpa tiga pemain utama iaitu kapten pasukan, Hadin Azman serta Zahril Azri Zabri dan Thiago Aquino yang digantung satu perlawanan kerana layangan kad merah ketika bertemu JDT 5 April lalu, pemain sedia ada diyakini mampu memikul tugas yang diberikan.

“Biarpun prestasi Kuala Lumpur dilihat semakin meningkat, The Fighters perlu memanfaatkan sepenuhnya peluang bermain di laman sendiri,” katanya.

Mengulas ketiadaan bersama The Fighters kerana mengikuti kursus lesen pro di Kuala Lumpur sehingga 17 April ini, Mohd Nidzam berkata, tugas melatih diserahkan kepada dua penolong jurulatih, Mohd Zahid Hashim dan Mohd Khairul Ismail.

Katanya, ia turut dibantu jurulatih penjaga gol, Azlisham Ibrahim yang diyakini membentuk gandingan mantap untuk menyekat The Hawks daripada mengutip mata.

“Saya percaya Zahid, Khairul dan Azlisham mampu menjalankan tanggungjawab untuk memastikan FELDA United kembali meraih mata, sekali gus memperbaiki kedudukan liga.

“Pada perlawanan Sabtu ini, saya boleh sahkan tidak dapat bersama pasukan kerana kursus akan berakhir pada 17 April ini,” katanya.

Selepas lapan perlawanan, The Fighters yang juga juara Liga Perdana musim lalu berada di tangga ke-11 dengan mengutip enam mata.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 April 2019 @ 1:33 PM