Aifa terima Anugerah Emas Sukan atas kecemerlangan dalam bidang akademik dan sukan. FOTO NSTP
BERNAMA

JAGUH skuasy remaja negara, Aifa Azman bangga muncul atlet skuasy wanita kedua selepas bekas nombor satu dunia, Datuk Nicol David menerima Anugerah Emas pada Anugerah Sukan Kementerian Pendidikan Malaysia MSSM-MILO 2018, hari ini.

Anugerah Emas itu merupakan anugerah tertinggi dalam Anugerah KPM-MSSM-MILO.

Anugerah itu tidak disampaikan setiap tahun dan dikhaskan hanya untuk mereka yang mencapai prestasi cemerlang dalam dua bidang iaitu sukan dan akademik.

Aifa, 18 tahun, menerima pengiktirafan itu selepas menjuarai Terbuka Remaja British (BJO) 2018 di Birmingham serta empat lagi gelaran Jelajah Persatuan Skuasy Profesional (PSA) tahun lalu.

“Anugerah ini memberi saya lebih semangat dan menjadi pemangkin kepada kejayaan akan datang. Bagi saya anugerah ini sangat besar dan membanggakan kerana sebelum ini Nicol pernah dapat anugerah sama.

“Saya boleh capai apa yang idola saya dapat,” katanya kepada media selepas menerima anugerah itu.

Atlet dari Kedah itu berkata pengiktirafan itu ternyata memberikan beliau semangat untuk memulakan aksi di Asian Individual Championship pada Mei ini di Kuala Lumpur.

Bagaimanapun, Aifa sedar beliau perlu berusaha lebih gigih jika mahu mengikut jejak langkah dan berada setanding dengan Nicol.

“Saya ada sertai Jelajah PSA dan berlawan dengan kelompok 20 pemain dunia, sejak itu saya tahu saya kena bekerja keras untuk capai kejayaan yang lebih besar. Tapi selepas beberapa kejohanan besar, saya rasa lebih berkeyakinan,” katanya.

Sementara itu, gimnas negara, Izzah Amzan dan Muhammad Fauzi Kaman Shah, masing-masing meraih Anugerah Puteri dan Anugerah Putera.

Senarai pemenang Anugerah Sukan KPM-MSSM-MILO

> Anugerah Tunas Harapan Puteri - Tan Rouxin (renang)

> Anugerah Tunas Harapan Putera - Harith Danial Jefri (skuasy)

> Anugerah Pendidikan Khas Puteri - Lalitta Bong (olahraga)

> Anugerah Pendidikan Khae Putera - Eddy Bernard (olahraga)

> Anugerah Khas Puteri - Lee Hui Xian (wushu)

> Anugerah Khas Putera - Fariz Haikal Mohd Kadir (berbasikal)

> Anugerah Puteri - Izzah Amzan

> Anugerah Putera - Muhammad Fauzi Kaman Shah (pelayaran)

> Anugerah Emas - Aifa Azman (skuasy)

> Anugerah Guru Berjasa Wanita - Keoh Lay Khuqn (gimnastik berirama)

> Anugerah Guru Berjasa Lelaki - R. Ganesh (olahraga)

> Anugerah Jurulatih Cemerlang - Mohd Saizul Hafifi Md Noor (ragbi)

> Anugerah Tokoh Sukan (kepimpinan) - Nik Ahmad Yaakub (bola sepak)

> Anugerah Inspirasi Sukan - Hoki Lima Sebelah

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 April 2019 @ 6:00 PM