SKUAD Kelantan kini turun ke tangga ke-10 Liga Perdana.
Syazwan Msar

SUDAH jatuh ditimpa tangga. Itu nasib menimpa Kelantan apabila dipotong tiga mata selepas gagal mengikut arahan dan tempoh masa ditetapkan Jawatankuasa Tatatertib Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Stuart Ramalingam berkata selepas Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) gagal menjelaskan tuntutan rasmi daripada bekas pengarah teknikalnya Alfredo Carlos Gonzalez.

“FAM hari ini menghantar surat arahan daripada FIFA itu kepada Liga Bolasepak Malayisa (MFL) untuk badan pengendali Liga Malaysia itu mengeluarkan surat rasmi pemotongan tiga mata kepada pasukan Kelantan dalam saingan Liga Premier.

“Dengan apa yang berlaku ini, FAM ingin mengingatkan serta menasihati ahli-ahli gabungan yang lain supaya tidak mengambil mudah arahan berkaitan hukuman diputuskan FIFA atau Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) kerana kesan dan akibatnya nanti akan ditanggung pasukan masing-masing.

“Walaupun KAFA dikenakan pemotongan tiga mata, mereka bagaimanapun tetap perlu untuk melunaskan juga bayaran seperti dinyatakan itu bagi mengelak dikenakan hukuman atau tindakan lanjut lain yang lebih berat daripada FIFA selepas ini,” katanya dalam kenyataan menerusi Facebook rasmi FAM, di sini, sebentar tadi.

Sebelum itu, pasukan berkenaan dikatakan menghadapi masalah kewangan selepas, My Inspiration Sdn Bhd yang menguasai 70 peratus saham Kelantan Red Warriors (KRW) Sdn Bhd mengumumkan pembatalan kerjasama dengan KAFA berkuatkuasa serta-merta.

Hukuman berkenaan jelas memberi ‘tamparan’ hebat kepada pasukan terbabit yang kini hanya tinggal empat mata sekali gus turun ke tangga 10 Liga Perdana.

Kelantan sebelum ini meraih tujuh mata dengan satu kemenangan manakala empat perlawanan lagi seri sekali gus berada di kedudukan ke sembilan.

Pada 6 Mac lalu, FIFA menghantar keputusan Jawatankuasa Tatatertibnya supaya KAFA membayar tuntutan daripada Gonzalez, denda FIFA dan kos prosiding yang keseluruhannya berjumlah kira-kira RM235,686 dalam tempoh 30 hari.

Jika gagal berbuat demikian, KAFA akan dipotong tiga mata dalam saingan liga domestik untuk pasukan utamanya iaitu pasukan Kelantan yang kini beraksi dalam Liga Premier.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 April 2019 @ 7:13 PM