RAMSEY (dua kiri) menjaringkan gol pertama Arsenal di Emirates. — FOTO Reuters
RAMSEY (dua kiri) menjaringkan gol pertama Arsenal di Emirates. — FOTO Reuters
AFP

UNAI Emery melaungkan amaran Arsenal menjangkakan respons kuat daripada Napoli selepas pasukannya menang 2-0 pada suku akhir pertama Liga Europa, awal pagi tadi.

Anak buah Emery menguasai perlawanan menerusi dominasi babak pertama di Stadium Emirates.

Aaron Ramsey membuka tirai jaringan dengan penamat tenang untuk melengkapkan gerakan menarik pada minit ke-15 dan Gunners mengukuhkan kedudukan 10 minit kemudian apabila pertahanan Napoli, Kalidou Koulibaly tertampan rembatan Lucas Torreira ke dalam gol sendiri.

Arsenal gagal menambah gol selepas rehat namun ia mungkin cukup buat mereka untuk berasa selesa menjelang aksi kedua di Naples pada 18 April ini.

PENYERANG Arsenal, Pierre-Emerick Aubameyang (kiri) bersaing dengan Koulibaly pada suku akhir pertama Liga Europa. — FOTO EPA
PENYERANG Arsenal, Pierre-Emerick Aubameyang (kiri) bersaing dengan Koulibaly pada suku akhir pertama Liga Europa. — FOTO EPA

Bagaimanapun, Emery sedar Arsenal mempunyai rekod buruk di gelanggang lawan musim ini, manakala Napoli pasti lebih mantap beraksi di depan penyokong sendiri di Stadium San Paolo.

“Aksi pertama amat penting untuk meraih keputusan bagus. Kami berhak menang, tapi kami sedar ia pasti sukar di sana,” kata Emery.

“Persembahan mereka di laman sendiri biasanya amat mantap. Kami merancang untuk memenangi perlawanan itu, tapi kami perlu menghormati mereka.

“Ia masih 50-50. Cabaran kami adalah perlu lebih kompetitif di laman lawan. Kadang-kadang kami tiada semangat yang kami miliki seperti di laman sendiri.”

Bos Napoli, Carlo Ancelotti tetap yakin anak buahnya mampu bangkit pada aksi kedua.

“Keputusan ini tidak boleh diubah tapi kami ada 90 minit lagi. Ia suasana berbeza apabila kami mendapat sokongan padu penyokong nanti. Saya yakin.”

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 April 2019 @ 7:23 AM