CECH teruja dengan kemungkinan bertemu Chelsea pada final Liga Europa. — FOTO EPA
Reuters

PENJAGA gol Arsenal, Petr Cech berharap untuk menamatkan karier penuh gemilang dengan cara terbaik menjulang trofi Liga Europa hujung musim ini namun mungkin terpaksa mengalahkan bekas kelabnya Chelsea.

Beberapa tindakan penyelamat Cech membantu Arsenal menang 2-0 ke atas Napoli pada suku akhir pertama awal pagi tadi. Mereka akan berkunjung ke selatan Itali minggu depan menyedari mereka berdepan tugas lebih sukar namun Cech berharap mereka boleh mara.

“Saya lebih suka bersara dengan satu trofi berada dalam genggaman,” katanya kepada wartawan selepas kemenangan Arsenal di Stadium Emirates. “Ia pasti cara terbaik untuk menamatkan karier saya dan satu pencapaian fantastik buat kelab.”

Cech memenangi trofi itu pada 2013 bersama Chelsea, yang mengalahkan kelab Czech, Slavia Prague 1-0 di laman lawan awal pagi tadi dan Arsenal berpeluang bertemu mereka di final.

CECH (kiri) menyelamatkan percubaan pemain Napoli, Fabian Ruiz di Emirates. — FOTO Reuters

Gunners tidak menang trofi Eropah sejak mereka mengungguli Piala Pemenang Piala pada 1994 dan Cech berkata, kejayaan Liga Europa satu cara ideal untuk menamatkan kemarau itu.

“Liga Europa meningkat saban tahun... dan setiap orang mahu memenanginya sekarang kerana anda boleh menempah tiket ke Liga Juara-Juara tahun berikutnya selain anda menjulang satu trofi.”

Bagaimanapun, dia tetap bimbang dengan kemungkinan Napoli menjejaskan impiannya.

“Kami mendahului 2-0, tapi kami masih sedar ia pasti sukar di sana. Mereka pasukan yang sukar ditemui di gelanggang lawan dan mereka bermain amat bagus setakat ini musim ini.”

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 April 2019 @ 10:06 AM