STUART RAMALINGAM
Syazwan Msar
mohdsyazwan@hmetro.com.my


PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) mengambil langkah sewajarnya dengan mengumpul maklumat berkaitan tiga individu yang dianggap ‘perosak’ bola sepak negara daripada bekas pemain dan barisan jurulatih empat kelab terbabit sebelum tindakan susulan diambil.

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam berkata, pihaknya sedia maklum berkaitan tindakan tiga individu terbabit yang melakukan ‘kerosakan’ hingga menyebabkan puluhan pemain dan jurulatih belum menerima gaji tertunggak.

Beliau berkata, FAM tidak boleh mengambil tindakan terburu-buru dan perlu melihat maklumat dan bukti yang dikemukakan oleh bekas pemain serta jurulatih daripada Terengganu City FC (TCFC), Hanelang FC, Marcerra United dan Kuantan FA sebelum mengadakan perbincangan bersama.

“FAM mahu individu berkenaan dikenakan tindakan kerana tidak mahu perkara sama (tunggakan gaji) berulang. Oleh itu, kami akan teliti dan melihat sama ada ia tertakluk kepada FAM atau di bawah polis membabitkan undang-undang jenayah penipuan.

“Jika perkara ini dapat ditangani, boleh dikatakan 70 peratus aduan membabitkan tunggakan gaji yang diterima FAM sebelum ini selesai,” katanya ketika ditemui pada majlis sidang media Pra Pelancaran Sidang Kemuncak Bolasepak Dunia Bagi Asia (WFS Asia), di sini, semalam.

Sebelum ini, Arena Metro melaporkan sekurang-kurangnya tiga individu membabitkan golongan kenamaan (VIP) dikenal pasti oleh FAM menjadi punca ‘kerosakan’ kepada empat kelab yang sudah lesap iaitu Marcerra United, Kuantan FA, Hanelang FC dan TCFC hingga menyebabkan bekas pemain serta barisan kejurulatihan terpaksa menanggung akibat.

Setakat ini, individu berkenaan yang masih lagi bebas daripada sebarang tindakan, bertanggungjawab terhadap hampir RM5 juta keseluruhan tunggakan gaji membabitkan pemain dan barisan kejurulatihan sejak tiga tahun lalu.

Sementara itu, berkaitan Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) yang ingkar dengan arahan Pesuruhjaya Sukan Malaysia (PJS) untuk mengadakan proses pencalonan untuk semua jawatan yang dipertandingkan bagi kongres ke-31 persatuan, Stuart berkata, setakat ini beliau mendapati ahli gabungan FAM itu belum mengambil tindakan susulan berkaitan perkara terbabit.

Menurutnya, FAM sedia membantu KLFA jika menghadapi sebarang masalah atau kemelut yang melanda persatuan terbabit bagi mengelak mereka digantung.

“Sebagai badan induk kita tidak mahu ahli gabungan dikenakan tindakan gantung hanya kerana tidak melakukan proses pencalonan seperti yang tertakluk kepada PJS.

“Sebelum ini, wakil KLFA ada datang berjumpa dengan FAM dan semalam (kelmarin) mereka mengadakan mesyuarat bagi membincangkan perkara ini dan berharap ia dapat diselesaikan secepat mungkin,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung KLFA, Nokman Mustaffa menjelaskan PJS tidak sepatutnya mencampuri urusan dalaman persatuan terbabit kerana ia berkaitan pihak berkepentingan dengan KLFA.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 April 2019 @ 10:32 AM