Pemain JDT II, Che Rashid Che Halim (tengah) diasak dua pemain Negeri Sembilan, L Kalaiharasan (kiri) dan Mohd Ridzuan Abdunloh Pula pada perlawanan Liga Perdana. FOTO Hairul Anuar Rahim.
Rizar Mohd Noor


JOHOR Darul Ta'zim II (JDT II) kembali menemui rentak kemenangan untuk terus kekal di tangga teratas selepas menewaskan Negeri Sembilan 3-0 pada aksi Liga Perdana di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG), sebentar tadi.

Dua gol pada babak pertama oleh Lucas Ontivero dan Syazwan Andik Mohd Ishak manakala gol penalti Mohamed Ghaddar pada babak kedua melengkapkan kemenangan buat JDT II yang muncul satu-satunya pasukan dalam saingan liga belum tewas selepas mengharungi lapan perlawanan.

Pada dua aksi lalu, skuad kendalian Ervin Boban sekadar melakar keputusan seri ketika menentang Sarawak 1-1 pada 30 Mac lalu dan keputusan yang sama dicatat ketika menentang PDRM, pada 5 April lalu.

Skuad Merah Biru bermula garang sebaik babak pertama bermula dengan mengatur serangan ke kubu skuad Hoben Jang Hoben.

Tuan rumah membuka tirai jaringan pada minit ke-11 apabila Amirulhadi Zainal yang melorong bola tepat kepada Ontivero pantas merembat bola menewaskan penjaga gol, Mohamad Kaharuddin Abdul Rahman.

Tuan rumah hampir menambah jaringan pada minit ke-14 apabila Amirulhadi membuka ruang kepada Ghaddar melepasi perangkap ofsaid pelawat namun bola sepakan lambung sekadar melewati palang gol ketika Mohamad Kaharuddin sudah tertewas.

Amirulhadi bertindak cemerlang menjadi pencetus jaringan kedua tuan rumah pada minit ke-22 selepas bola sepakan lintang memudahkan tugas Syazwan Andik yang tidak dikawal untuk menyambar bola dan merembat ke gawang pelawat.

Babak kedua perlawanan, pelawat yang ketinggalan 0-2 mengintai peluang untuk memburu gol namun bola sepakan percuma Jose Almir Neto di luar kotak penalti pada minit ke-52 mudah ditangkap kemas penjaga gol, Haziq Nadzli.

Tuan rumah menyentap perjuangan pelawat apabila pengadil perlawanan Tuan Mohd Yassin Tuan Mohd Hanafiah tidak teragak-agak memberi sepakan penalti selepas S Kalaiharasan mengasari pemain gantian Adib Zainuddin di dalam kotak penalti pada minit ke-62 dengan Ghaddar berjaya menyempurnakan sepakan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 April 2019 @ 11:09 PM