Pemain Kelantan, Nik Azli Nik Alias dihalang pemain PDRM, Mohd Safiee Ahmad (kanan) dalam saingan perlawanan bola sepak Liga Perdana. FOTO Syamsi Suhaimi.
Attirmidzie Rahman


KELANTAN gagal meraih kemenangan di laman sendiri apabila tewas 0-1 kepada PDRM dalam aksi Liga Perdana di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, sebentar tadi.

Peluang terbaik skuad The Red Warriors (TRW) mencipta jaringan hadir pada minit ke-13, namun sepakan percuma Nik Azli Nik Alias, terkena palang gol walaupun penjaga gol PDRM, Mohd Shahril Sa'ari sudah tertewas.

Pada minit ke-39, skuad kendalian Kamaruddin Muhammad hampir mendahului pelawat namun sepakan percuma pemain import dari Brazil, Flavio Junior sedikit melepasi palang gol.

Minit akhir babak pertama permainan, Muhammad Danial Haqim Draman dan Nik Azli hampir menceriakan penyokong tuan rumah namun percubaan dua pemain skuad bawah 23 tahun kebangsaan ini sedikit tersasar.

Babak kedua menyaksikan saingan lebih menarik dengan percubaan Kapten PDRM, Shahurain Abu Samah pada minit ke-55 hanya sedikit tersasar, diikuti rembatan Lee Changhoon minit pada ke-58 berjaya diselamatkan Arif Abdullah.

Malah The Cops berjaya melakukan satu lagi percubaan bahaya menerusi import dari Korea Selatan, Lee Changhoon pada minit ke-65 yang terkena palang gol.

Selang empat minit Nik Azli hampir mencipta gol pendahuluan TRW namun rembatan deras dari luar kawasan penalti ditepis keluar penjaga gol pelawat, Shahril Sa'ari.

Minit ke-82 Lee Changhoon menjaringkan gol tunggal PDRM hasil rembatan deras dalam kawasan penalti menewaskan Arif Abdullah. Kedudukan 1-0 kekal sehingga tamat permainan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 April 2019 @ 11:32 PM