Amri Yahya menggelecek pemain Perak, K Partiban dalam aksi Liga Super di Stadium Shah Alam. FOTO Roslin Mat Tahir.
Syazwan Msar


PERAK terpaksa berpuas hati dengan keputusan seri 1-1 menentang Selangor dalam aksi Liga Super di Stadium Shah Alam, sebentar tadi.

Keputusan itu sekali gus menyaksikan skuad The Bos Gaurus mencatatkan enam kali seri dan satu kemenangan untuk berada di kedudukan kelapan liga. Pasukan tuan rumah yang mendapat sorakan 10,000 penyokong gagal memanfaatkan peluang bermain di tempat sendiri sekali gus sekadar berpuas hati membawa pulang satu mata saja.

Separuh masa pertama menyaksikan skuad bimbingan Mehmed Durakovic terlebih dahulu menguji benteng pasukan tuan rumah apabila tandukan Leandro Dos Santos hampir menerjah gawang namun berjaya ditepis penjaga gol Mohd Farizal Harun.

Skuad bimbingan B Sathiananthan cuba mencari gol pembukaan dan peluang terbaik hadir pada minit 20 menerusi rembatan Muhammad Syahmi Safari namun dinafikan penjaga gol Muhammad Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy. Pelawat akhirnya memecah kebuntuan gol apabila Mohd Nor Hakim Hassan mudah menolak masuk gol hasil hantaran Muhammad shahrel Fikri Md Fauzi pada minit 36.

Kegembiraan Perak tidak berpanjangan apabila Sandro Da Silva menyumbat gol penyamaan buat tuan rumah selang tiga minit kemudian menerusi sepakan percuma.

Keputusan kekal hingga wisel penamat dengan jaringan 1-1 sekali gus menyaksikan Selangor gagal mengekalkan rentak kemenangan sebelum ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 April 2019 @ 11:41 PM