STUART Ramalingam.

Syazwan Msar

mohdsyazwan@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: Sekurang-kurangnya tiga pasukan liga tempatan bakal menerima nasib sama seperti Kelantan iaitu pemotongan mata atau denda yang ditetapkan Jawatankuasa Tatatertib Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam berkata, pihaknya diberitahu terdapat kes yang masih dalam siasatan oleh jawatankuasa terbabit dan keputusannya akan dimaklumkan dalam masa terdekat.

Beliau yang enggan mendedahkan pasukan terbabit memaklumkan, tindakan daripada badan induk bola sepak dunia terbabit disebabkan masalah gaji dan perlanggaran kontrak pemain dan pegawai sukan.

“Memang ada beberapa kes yang masih lagi dalam siasatan Jawatankuasa Tatatertib FIFA membabitkan pemain import sebelum ini yang tidak dibayar gaji.

“Pasukan yang dikenakan tindakan tidak boleh menyalahkan FAM kerana kita hanya melaksanakan perkara yang sudah diputuskan oleh badan induk dunia itu,” katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Kelantan dipotong tiga mata selepas gagal mengikut arahan dan tempoh masa yang ditetapkan Jawatankuasa Tatatertib FAM.

Keputusan itu diambil selepas Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) gagal menjelaskan tuntutan rasmi daripada bekas pengarah teknikalnya, Alfredo Gonzalez.

FAM sudah menghantar surat arahan FIFA itu kepada Liga Bolasepak Malaysia (MFL) untuk badan pengendali liga tempatan itu mengeluarkan surat rasmi pemotongan tiga mata kepada Kelantan yang bersaing di Liga Perdana.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 April 2019 @ 7:30 AM