PEREZ (kanan) menanduk masuk gol tunggal perlawanan buat Newcastle di Leicester, awal pagi tadi. — FOTO AFP
AFP

NEWCASTLE mengorak langkah besar untuk memastikan kekal dalam Liga Perdana Inggeris ketika gol Ayoze Perez memastikan kemenangan 1-0 ke atas Leicester di gelanggang lawan, awal pagi tadi.

Anak buah Rafael Benitez melonjak 10 mata di atas zon penyingkiran terima kasih kepada tandukan Perez pada minit ke-32 di Stadium King Power.

Kemenangan liga pertama Newcastle di laman lawan sejak Disember lalu menamatkan rentetan empat perlawanan tanpa menang yang mengancam kedudukan mereka untuk bertahan di liga utama.

Mereka hampir pasti mengekalkan status di liga utama selepas musim sukar yang menyaksikan Benitez tidak berpuas hati dengan kekurangan dana bagi pembelian pemain berikutan keengganan pemilik kontroversi Mike Ashley membelanjakan wang.


PENYERANG Leicester, Jamie Vardy (atas) memenangi perebutan di udara dengan pemain tengah Newcastle, Matt Ritchie di Stadium King Power. — FOTO AFP

“Ia terlalu besar buat pasukan ini. Anda perlu memberi pujian kepada pemain yang bekerja keras,” kata Benitez.

“Kami beraksi menentang pasukan yang bagus. Kami perlu melakukan setiap perkara hampir sempurna dan kami berjaya melakukannya. Lebih mudah dengan komitmen yang dipamerkan pemain.”

Susulan khabar angin beliau mungkin tidak mengendalikan pasukan musim depan jika Ashley enggan melabur, Benitez menegaskan: “Kami perlu memiliki pasukan yang boleh bersaing.

“Bandar raya ini, kelab ini mempunyai potensi. Ia amat besar. Saya tidak menjangkakan untuk berbelanja £200 juta (RM1.07 bilion), tapi melakukan perkara yang betul.

“Anda boleh mengamalkan taktik yang betul, tapi pasukan lain mempunyai seorang pemain yang boleh memberikan perbezaan.”

Leicester kekal di tangga ketujuh selepas kekalahan pertama di laman sendiri buat bos Brendan Rodgers sejak beliau berpindah dari Celtic dua bulan lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 April 2019 @ 7:51 AM