GERRARD terduduk selepas kesilapannya menghadiahkan Chelsea gol pertama pada 2014 di Anfield. — FOTO Agensi
GERRARD terduduk selepas kesilapannya menghadiahkan Chelsea gol pertama pada 2014 di Anfield. — FOTO Agensi
AFP

JUERGEN Klopp menyatakan Liverpool tidak akan dihantui kegagalan menjulang kejuaraan Liga Perdana Inggeris lima tahun lalu apabila mereka berdepan Chelsea, malam esok.

Liverpool memburu kejuaraan liga utama Inggeris pertama sejak 1990. Kemenangan ke atas Blues di Anfield akan mengorak langkah besar ke arah merealisasikan impian itu.

Namun Chelsea mencetus memori ngeri yang tidak mahu diingati setiap individu yang terbabit dengan pendahulu Liga Perdana itu.

Pada 2014, Liverpool yang ketika itu dikendali Brendan Rodgers, menghuni tangga teratas apabila mereka tewas 0-2 di tangan Chelsea di Anfield pada perlawanan yang lebih diingati kerana kesilapan Steven Gerrard yang terjatuh dan menghadiahkan gol buat Demba Ba.

JUERGEN KLOPP
JUERGEN KLOPP

Kekalahan memilukan itu hadir pada peringkat sama kempen dan pencabar kejuaraan semasa Manchester City menggunakan kesempatan itu untuk menjulang trofi dengan perbezaan dua mata.

Dengan Liverpool mendahului dua mata di depan City, yang beraksi kurang satu perlawanan, cabaran terlalu besar buat Reds pada pertembungan terkini dengan Chelsea.

Beberapa pemain Liverpool masih kekal daripada perlawanan itu dan Klopp yakin kegagalan lalu bukan menjadi masalah buat generasi semasa.

“Saya tak pasti jika ia berada dalam minda sesiapa. Anda boleh beritahu semua penyokong di luar sana untuk tidak mempedulikannya. Ia tiada kena mengena dengan kami. Ia jelas cerita yang amat berbeza,” kata Klopp.

GERRARD kecewa selepas Chelsea menjaringkan gol kedua menerusi Willian pada April 2014. — FOTO Agensi
GERRARD kecewa selepas Chelsea menjaringkan gol kedua menerusi Willian pada April 2014. — FOTO Agensi

“Ia semuanya mengenai perlawanan Ahad ini. Sesiapa yang mahu bercakap dengan mana-mana pemain saya mengenai apa yang berlaku beberapa tahun lalu, harapnya jangan. Kami mahu melakar sejarah sendiri.

“Saya tidak gementar. Saya berasakan bahang pertandingan ini, tapi kami hanya lihat apa yang positif ketika ini.

“Kami mahu melangkah ke depan kerana ia belum berakhir. Kami cuba menggalakkan mereka supaya bermain dengan baik. Kami akan melakukan kesilapan dan kami perlu menanganinya.”

Di sebalik keyakinan Klopp, Liverpool tidak mengalahkan Chelsea di Anfield dalam lapan pertembungan terakhir, catatan buruk yang termasuk kekalahan 1-2 pada Piala Liga musim ini dengan inspirasi gol lewat menakjubkan daripada Eden Hazard.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 April 2019 @ 8:29 AM