PIYA bersetuju tunggakan gajinya dibayar oleh syarikat terbabit.
Syazwan Msar


HARAPAN pemain berpengalaman, Mohd Badhri Mohd Radzi atau Piya untuk mendapatkan tunggakan bayaran gaji yang berjumlah hampir RM300,000 sebelum ini mungkin kelam apabila perjanjian kontrak yang ditandatangani bersama Kelantan Red Warriors (KRW) sebenarnya mempunyai terma yang mengakibatkan dia bakal menjadi mangsa keadaan.

Mengikut perjanjian yang ditandatangani bersama KRW, gaji serta tunggakan terhadap bekas pemain kebangsaan itu akan dibayar syarikat berkenaan dengan jaminan My Inspiration Sdn Bhd.

Namun, tindakan My Inspiration Sdn Bhd membatalkan serta-merta perjanjian menguruskan pasukan Kelantan yang dimeterai dengan Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) baru-baru ini menyaksikan harapan pemain terbabit untuk menikmati tunggakan gajinya musnah begitu saja.

Presiden KAFA, Bibi Ramjani Ilias Khan (gambar) berkata, pihaknya hanya mempunyai 30 peratus pegangan dalam KRW dan selebihnya dimiliki oleh My Inspiration Sdn Bhd.

“Jika mengikut perjanjian yang ditandatangani Piya, KAFA mungkin hanya membayar 30 peratus daripada jumlah tunggakan mengikut terma dalam kontrak terbabit jika diminta berbuat demikian.

“Perkara terbabit sudah dipersetujui sebelum ini bersama pemain dan KRW serta pihak yang bertanggungjawab membawa kembali Piya ke Kelantan,” katanya ketika dihubungi Arena Metro, semalam.

Sebelum ini, bola sepak Kelantan bergolak apabila My Inspiration Sdn Bhd membatalkan serta-merta perjanjian menguruskan pasukan walaupun ia sudah dimeterai menerusi perjanjian dengan KAFA.

Ahmad Fazli Mohammad selaku pemegang saham terbesar dalam KRW menganggap keputusan itu dibuat selepas pihaknya hilang kepercayaan dan rasa sabar terhadap KAFA yang didakwa tidak menghormati kontrak.

Berikutan pembatalan perjanjian itu, beliau melalui peguamnya akan menyerahkan semula KRW kepada Presiden KAFA.

Selain itu, Bibi Ramjani berkata, beliau akan berjumpa dengan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk membincangkan perkara terbabit bagi mencari jalan penyelesaian.

“KAFA bukan lepas tangan cuma mahu melihat kembali terma yang sudah ditandatangani pemain berkenaan bersama KRW sebelum ini kerana jelas sekali Piya bersetuju tunggakan gajinya dibayar oleh syarikat terbabit.

“Sebab itu, saya menasihatinya supaya memikirkan kembali keputusan menarik diri baru-baru ini kerana mungkin merugikannya,” katanya.

Sementara itu, Piya ketika dihubungi memaklumkan tunggakan sebelum ini perlu dibayar oleh KAFA dan bukan KRW kerana perkara terbabit berlaku ketika syarikat terbabit tidak wujud lagi.

“Saya akan meminta pandangan Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) untuk mendapatkan nasihat kerana tidak dimaklumkan oleh KAFA mengenai isu ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 April 2019 @ 7:00 AM