Meor Riduwan Meor Ahmad

TERPILIH menganggotai skuad bola sepak wanita kebangsaan pada usia muda boleh dianggap sebagai pengiktirafan buat anak jati Selangor, Nurul Azurin Mazlan.

Bermain di posisi penjaga gol, tubuh kecil moleknya dengan ketinggian 157 sentimeter bukanlah halangan untuk dia mempamer ketangkasan dalam memastikan gawangnya tidak dibolosi.

Dua kali diiktiraf pemain wanita terbaik Anugerah Bolasepak Kebangsaan iaitu pada 2015 dan terbaru tahun lalu, sudah cukup untuk membuktikan bakat yang ada pada dirinya.

Bercerita mengenai karier bola sepaknya, penuntut jurusan Teknologi Maklumat, Universiti Multimedia (MMU) itu memberitahu, dia terbabit dengan bola sepak sejak 2012 apabila terpilih mewakili kelab Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) di bawah bimbingan bekas pemain kebangsaan, Annuar Abu Bakar.

Bermula dari situ dan berkat keazamannya, Nurul Azurin terus mendapat kepercayaan mewakili negara menerusi skuad remaja perempuan bawah 14 tahun (B-14), B-16 dan B-19.


AKSI Azurin mengawal gawang dari dibolosi.

“Saya juga berpengalaman bermain dalam Kejohanan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) selain di Sukan SEA 2017. Memang bangga dan ‘berbaloi’ untuk ibu bapa dan keluarga yang sentiasa menyokong dengan menghantar saya ke setiap lokasi pertandingan sebelum ini.

“Ia juga memberi pengalaman berharga kepada saya untuk bersama skuad wanita kebangsaan dan bersaing dengan pasukan dari negara lain,” katanya ketika ditemui.

Berkongsi tips sebagai penjaga gol, Nurul Azurin berkata, bagi menghilangkan rasa gementar setiap kali perlawanan, dia memilih untuk ‘memberi arahan’ kepada rakan sepasukannya.

“Sebagai benteng terakhir, saya dapat lihat semuanya dan kelebihan itu saya guna untuk beri arahan kepada rakan. Bukan saja mengingatkan rakan agar sentiasa peka terhadap pasukan lawan, cara ini juga berkesan hilangkan rasa gugup,” katanya.

Sementara itu, Nurul Azurin berkata, biarpun bola sepak menjadi ‘cinta pertamanya’, fokus terhadap akademik tetap diutamakan demi masa depan.

“Kalau di padang saya beri 100 peratus, untuk pelajaran juga sama. Memang satu cabaran untuk bahagikan masa, tapi Alhamdulillah semuanya berjalan lancar dengan adanya pensyarah dan rakan yang memahami dan sangat membantu.

“Walaupun sibuk berlatih, saya pastikan semua tugasan disiapkan, tumpuan di bilik kuliah dan ‘stay back’ hingga malam untuk ulang kaji pelajaran dengan rakan,” katanya.

Menurutnya, tumpuannya kini untuk membantu pasukan bola sepak wanita Melaka menjuarai kejohanan Piala Tun Sharifah Rodziah (PTSR) 2019 yang bermula 20 April ini.

Setiap hari selepas kuliah, Nurul Azurin akan memandu sejauh 112 kilometer dari Shah Alam untuk berlatih di padang Kolej Universiti Islam Melaka (KUIM), Kuala Sungai Baru, Alor Gajah.

“Tahun lalu kami naib juara dan tewas 0-2 di final kepada Kedah. Tahun ini kami yakin mampu jadi juara di bawah bimbingan jurulatih, Jamil Hasan dengan kemasukan beberapa pemain dari Sabah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 April 2019 @ 10:32 AM