PAUNOVIC (kanan) diasak pertahanan UiTM FC, Benard Coulibally Agele di Stadium Likas, semalam. - FOTO Edmund Samunting
Ryan Stanley

KETUA jurulatih Sabah, Jelius Ating kecewa dengan ketumpulan penyudah pasukan itu sehingga menyebabkan mereka terpaksa berkongsi mata dengan UiTM FC dalam aksi Liga Perdana di Stadium Likas, semalam.

Katanya, beberapa peluang termasuk situasi satu lawan satu dengan penjaga gol sepatutnya diterjemahkan kepada jaringan namun gagal. Sebaliknya pihak lawan pula yang berjaya menyamakan kedudukan.

"Seperti saya katakan sebelum ini, jika tidak dimanfaatkan peluang, kita mungkin terlepas peluang memenangi perlawanan dan ia berlaku pada malam ini (semalam) walaupun kita sudah mendahului.

"Saya sedikit kecewa dengan ketumpulan penyudah, beberapa peluang baik terutama ketika berdepan penjaga gol sepatutnya disudahkan dan kita boleh menang perlawanan ini," katanya ketika ditemui selepas perlawanan malam tadi.

Sementara itu, Jelius berkata, secara keseluruhan beliau berpuas hati dengan persembahan dipamerkan barisan pemainnya namun sedikit kecewa dengan aksi pemain import yang tidak menepati tahap diharapkan.

Beliau bagaimanapun tidak menamakan pemain dimaksudkan namun berkata, pemain import sepatutnya memberi impak kepada pasukan.

Pada aksi semalam, skuad Tambadau mendahului UiTM FC menerusi tandukan Rodoljub Paunovic pada minit ke-49 namun kelebihan itu dipadamkan penyerang import UiTM FC, Robert Waly Lopez Mendy, hasil sepakan percuma pada minit ke-84.

Keputusan itu menyaksikan Sabah kekal di tangga kedua liga dengan 15 mata, tiga mata di belakang pendahulu liga, Johor Darul Ta'zim II (JDT II) yang kini mengumpul 18 mata.

Sabah juga bernasib baik tidak dipintas Selangor United yang turut mencatat keputusan seri 2-2 dengan UKM FC dan pasukan itu kini berkongsi 14 mata dengan UiTM FC yang kini berada di kedudukan ketiga.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 April 2019 @ 5:18 PM