AKSI Wee Wern ketika menentang Zeina pada separuh akhir Terbuka Macau.
Ferzalfie Fauzi

PEMAIN skuasy wanita negara, Low Wee Wern tidak berasa terlalu kecewa apabila tumpas dalam perlawanan akhir Terbuka Macau sebentar tadi selepas berjaya menumbangkan tiga pemain pilihan dari Mesir pada di pusingan kedua, suku akhir dan separuh akhir.

Dalam aksi akhir hari ini, Wee Wern terpaksa akur dengan kehebatan pilihan utama dari Hong Kong, Annie Au apabila tumpas 5-11, 11-13, 8-11.

"Ia minggu terbaik buat saya selepas mara ke perlawanan akhir. Bagaimanapun, hari ini persembahan saya masih jauh jika hendak dibandingkan dengan Annie," katanya ketika dihubungi Arena Metro hari ini. Pemain kelahiran Pulau Pinang ini mengakui dia agak lambat untuk menyesuaikan diri dengan keadaan gelanggang dan berasa kurang bernasib baik apabila kalah tipis di set kedua serta ketiga.

"Jika saya berjaya memenangi salah satu daripada kedua-dua set berkenaan mungkin saya berpeluang untuk tampil lebih yakin menyambung aksi seterusnya.

"Bagaimanapun, mara ke perlawanan akhir adalah satu bonus buat saya apabila hanya meletakkan sasaran untuk layak sehingga ke pusingan kedua. Sebelum ini saya perlu berdepan dengan tiga pemain pilihan untuk mara ke final, jadi ia adalah minggu yang cemerlang buat saya," katanya.

Selepas ini Wee Wern akan beraksi di Kejohanan Antarabangsa El Gouna di Mesir (17 hingga 26 April) dan dia akan berdepan wakil tuan rumah, Jana Shiha di pusingan pertama.

Jika berjaya melepasi halangan berkenaan menantinya di pusingan pertama ialah pemain nombor satu dunia, Raneem El Welily (Mesir). "Saya mendapat sedikit keyakinan selepas mempamerkan prestasi cemerlang di kejohanan ini," kata pemain berusia 29 tahun itu.

Wee Wern sebelum ini menumbangkan tiga wakil Mesir sebelum berjaya ke final iaitu pilihan kedua, Salma Hany, pilihan kelapan, Nadine Shahin dan pilihan keenam, Zeina Mickawy.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 April 2019 @ 9:27 PM