Aksi pemain Malaysia, Faiz Jali (tengah) cuba melepasi halangan pemain India pada aksi Hoki Piala Sultan Azlan Shah di Ipoh, baru-baru ini turut menggunakan teknologi rujukan video. FOTO NSTP.
Firdaus Hashim
firdaushashim@nstp.com.my


RAYUAN Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) untuk menggunakan teknologi rujukan video (video referral) pada Pusingan Akhir Siri Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) di Stadium Hoki Bukit Jalil dari 26 April hingga 4 Mei ini tidak kesampaian apabila ditolak badan induk hoki dunia itu.

Menerusi surat maklum balas yang dikeluarkan FIH dan ditujukan kepada Presiden MHC, Datuk Seri Subahan Kamal, memberitahu rayuan berkenaan terpaksa ditolak bagi memberi keadilan kepada semua pasukan bertanding pada kejohanan itu nanti.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif FIH, Thierry Weil, memandangkan tidak semua negara tuan rumah mempunyai rujukan video, maka FIH memutuskan supaya ia tidak digunakan pada kejohanan kali ini.

"Keputusan itu diambil pihaknya bagi berlaku adil kepada semua lima negara lain yang turut menjadi tuan rumah - disebabkan tidak semua penganjur mempunyai kemudahan itu.

"Sistem rujukan video berhubung terus dengan stesen penyiaran, jadi bagi tuan rumah yang tidak mempunyai stesen penyiaran rasmi mereka tidak akan mempunyai rujukan video.

"Dalam usaha memastikan semua kejohanan berlangsung penuh adil dan konsisten dengan peraturan semua enam pertandingan Pusingan Akhir Siri FIH, kami sebulat suara menolak penggunaan rujukan video," katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa rujukan video yang mula diperkenalkan pada 2010 itu tidak semestinya wajib diguna pakai dalam pertandingan Final Siri FIH.

"Saya tahu pihak anda pastinya kecewa dengan keputusan ini tetapi kami berharap anda dapat memahami keputusan yang dibuat ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 April 2019 @ 4:17 PM