NURRIDZUAN ditemui media selepas menjalani latihan di Padang SUK, Shah Alam.
Syazwan Msar


SHAH ALAM: “Saya minta maaf kepada semua terutama penyokong Perak,” jelas pemain Selangor, Nurridzuan Abu Hassan yang terpalit kontroversi selepas menunjukkan isyarat lucah ketika perlawanan Selangor menentang Perak di Stadium Shah Alam, Jumaat lalu.

Malah, bekas pemain Perak itu juga berjanji akan lebih bersikap profesional dengan bijak mengawal kemarahan pada perlawanan akan datang bagi memastikan insiden sama tidak berulang lagi.

Nurridzuan berkata, tindakan terbabit berpunca daripada kegagalan mengawal kemarahan selepas dikenakan kad merah selain diejek penyokong Perak ketika berjalan keluar dari padang.

Dia yang mengakui melakukan isyarat lucah terbabit berharap perkara terbabit tidak berpanjangan dan bersedia menerima hukuman daripada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Liga Bolasepak Malaysia (MFL).

“Saya tidak kisah sebenarnya kena ejek, namun mungkin tekanan daripada dikenakan kad merah menyebabkan perbuatan terbabit (isyarat lucah) ditunjukkan kepada peminat.

“Sebagai pemain profesional, sepatutnya saya bijak mengawal emosi, namun perkara sudah terjadi dan berjanji tidak berulang lagi nanti,” katanya di sini, semalam.

Semalam, Arena Metro melaporkan Nurridzuan kemungkinan besar akan dikenakan tindakan berikutan keterlanjurannya menunjukkan isyarat lucah dalam perlawanan itu.

Ini berikutan FAM lazimnya tidak akan bertolak ansur dengan perbuatan tidak senonoh seperti itu walaupun dilakukan dalam suasana tegang.

Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM, Md Dali Wahid berkata, FAM sudah mendapat laporan dan juga bukti berdasarkan gambar dan rakaman video dan akan diserahkan kepada jawatankuasa tatatertib bagi siasatan dan keputusan lanjut.

Sementara itu, Nurridzuan berkata, dia akur jika pengurusan Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) dan jurulatih, B Sathiananthan mahu ‘merehatkannya’ sementara waktu.

“Saya belum lagi menjelaskan situasi terbabit kepada pihak pengurusan, tapi saya tetap akan cuba berusaha melakukan yang terbaik pada sesi latihan bagi meraih kepercayaan jurulatih,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 April 2019 @ 8:30 AM