AUBAMEYANG ledak gol tunggal Gunners. FOTO/AFP
AFP

ARSENAL melonjak ke kelompok empat teratas Liga Perdana Inggeris namun perlu bekerja keras sebelum menewaskan Watford yang beraksi dengan 10 pemain, 1-0 hasil jaringan awal Pierre-Emerick Aubameyang awal pagi tadi.

Aubameyang memanfaatkan kesilapan penjaga gol Watford Ben Foster apabila pantas meledak jaringan ketika penjaga gol berkenaan cuba mengeluarkan bola daripada cubaan pemain Gabon itu.

Kapten Watford Troy Deeney kemudiannya dilayangkan kad merah seawal minit ke-11, namun Gunners gagal memanfaatkan kelebihan bilangan pemain dan bernasib baik apabila dua percubaan tuan rumah terkena palang.

Bagaimanapun skuad Unai Emery buat kali pertama tidak bolos di laman lawan di Liga Perdana musim ini untuk memintas Chelsea menerusi perbezaan gol untuk menduduki tangga keempat.

“Kami tidak mengawal permainan seperti yang saya inginkan,” kata Emery.

“Pasukan kelihatan gemuruh kerana mereka sepatutnya lebih tenang. Apa yang penting bagi kami adalah menjaringkan gol kedua dan itu gagal kami laksanakan.”

Arsenal juga menghampiri satu mata dengan Tottenhman dan dua mata mengatasi Manchester United dalam saingan empat penjuru untuk merebut dua tiket Liga Juara-Juara di belakang Liverpool dan Manchester City.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 April 2019 @ 8:32 AM