SITI Safiyah (kanan) dan Adrian mempamerkan trofi dimenangi mereka.
Meor Riduwan Meor Ahmad


KUALA LUMPUR: “Kami memang gembira sebab skuad wanita dan lelaki juara. Minggu lepas remaja pun menang. Keseluruhan macam kita bolot semualah.” Itu reaksi pemain elit negara, Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman.

Dia mengulas kecemerlangannya dalam kategori wanita, manakala Adrian Ang merangkul gelaran stepladder lelaki pada Kejohanan Tenpin Boling Terbuka Antarabangsa Thailand ke-45 di Bangkok, kelmarin.

Dalam kejohanan berlangsung di Blu-O Rhythm and Bowl di Siam Paragon, Siti Safiyah menumpaskan rakan sepasukan, Nerosha Keligit; 257-216 dalam stepladder final wanita.

Menurut Siti Safiyah, kemenangan itu mengubat kekecewaannya ketika aksi di Cabaran Brunswick Euro di Munich, Jerman, Mac lalu.

“Ketika di Munich, sikit lagi saya nak masuk ‘Top 8’. Kiranya Thailand ini saya sasar untuk ganti kekecewaan itu,” katanya ketika dihubungi semalam.

Katanya, cabaran selepas ini adalah kejohanan Terbuka Malaysia dan pertandingan itu juga sebagai persediaan baginya.

“Saya sentiasa menyasarkan podium. Kalau podium, baru puas hati. Akhirnya dapat jadi juara syukur Alhamdulillah,” katanya.

Siti Safiyah berkata, dia bersama tiga pemain profesional iaitu Shalin Zulkifli, Esther Cheah dan Sin Li Jane bakal menyertai Kejohanan Jelajah Persatuan Boling Profesional Wanita (PWBA) di Amerika Syarikat pada Mei ini.

Sementara itu, Adrian dalam catatan di Facebooknya, meluahkan perasaan gembira di atas kejayaan berganda selepas dinobatkan sebagai Olahragawan Anugerah Sukan Negeri Pulau Pinang 2017/2018 pada Ahad lalu.

“Dua hari lalu, saya menerima Anugerah Olahragawan, dan hari ini (kelmarin) saya amat gembira apabila memenangi gelaran antarabangsa pertama di Kejohanan Tenpin Boling Terbuka Antarabangsa Thailand ke-45 di Bangkok.

“Terima kasih kepada peminat no 1 iaitu isteri saya. Terima kasih kerana sentiasa mengambil berat terhadap puteri kecil saya sepanjang menyertai kejohanan dan membuatkan saya tidak berasa bimbang akan keadaan mereka.

“Saya sangat bernasib baik untuk mempunyai isteri sebagai tonggak kekuatan saya,” katanya.

Dia turut mengabadikan kejayaan itu kepada keluarga, jurulatih, rakan sepasukan, Majlis Sukan Negara dan Institut Sukan Negara.

Adrian meraih hadiah wang tunai RM45,318, manakala Siti Safiyah Amirah membawa pulang RM16,831. Pada 8 April lalu, pemain pelapis lelaki negara, Muhammad Shafiy Zaim pula menjuarai kategori bawah 21 tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 April 2019 @ 8:02 AM