PENJAGA gol United, De Gea terlepas tangkapan. FOTO/AFP
SOLSKJAER (kanan) mahu lakukan rombakan besar-besaran. FOTO/AFP
Reuters

SELEPAS harapan tipis mereka untuk bangkit dalam Liga Juara-Juara diranapkan Lionel Messi dan Barca, Ole Gunnar Solskjaer mengakui Manchester United perlukan rombakan besar-besaran untuk kembali ke kancah saingan elit Eropah itu.

Biarpun United bermula baik pada aksi kedua separuh akhir di Nou Camp dengan rembatan Marcus Rashford terkena palang, mereka segera dihukum Barca yang meraih kemenangan mudah 3-0 awal pagi tadi dengan agregat 4-0.

“Kami menentang pasukan yang hebat dan sedar banyak yang perlu dilakukan tetapi saya katakan sebelum ini ia tidak boleh diubah semalaman,” kata Solskjaer.

“Beberapa tahun berikutnya akan menjadi penting buat kami untuk menyamai apa yang dilakukan Barca dan pasukan lain.”

Solskjaer berjaya memulihkan keyakinan United dan menyaksikan peningkatan keputusan sepanjang empat bulan mengendalikan kelab itu selepas pemecatan Jose Mourinho pada Disember, memberikan harapan buat mereka berada dalam kelompok empat teratas Liga Perdana Inggeris.

Beliau juga berjaya membawa pasukan bangkit selepas kekalahan 0-2 di laman sendiri kepada Paris St Germain dalam aksi 16 terakhir Liga Juara-Juara, untuk mara dengan kemenangan 3-1 di ibu negara Perancis itu.

Namun proses pemulihan pasukan dilihat akan mengambil lebih masa apabila kepincangan mereka terdedah di Nou Camp, di mana Barca dengan mudah menewaskan mereka.

“Kami mempunyai pemain yang baik dan pada ketika ini kami menjalankan tugas dengan baik untuk mara ke suku akhir dan kelompok empat teratas tetapi kami dalam proses membentuk kembali pasukan. Ia bermula dengan jurulatih pemain, dengan tambahan satu atau dua pemain lagi,” kata jurulatih kelahiran Norway itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 April 2019 @ 9:10 AM