LEE TUCK tonggak TFC musim ini.
Malik Muhamad

ARKITEK Terengganu FC (TFC), Lee Tuck menyatakan dia masih berminat menyarung jersi skuad kebangsaan biarpun terpaksa terus 'menunggu' berita gembira itu tanpa mengetahui tarikh sebenar.

Malah pemain berdarah kacukan England-Malaysia itu yang nenek sebelah ibunya berasal dari Sabah manakala bapa dari England mengakui sedang menyiapkan dokumen yang diperlukan sebelum mendaftar di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

"Setakat ini status permohonan menjadi pemain tempatan masih lagi sama (dalam proses) kerana segala dokumen perlu diproses dan mengambil masa untuk dilengkapkan.

"Bagaimanapun, saya harap semuanya dapat diselesaikan dalam masa terdekat apabila dokumen yang diperlukan sudah lengkap.

"Lagipun saya masih lagi berminat untuk menyarung jersi skuad Malaysia biarpun ia mengambil masa," ujar pemain berusia 31 tahun kelahiran Halifax, England yang mengharapkan PBSNT membantunya melengkapkan semua dokumen berkaitan.

Hari ini, Sukan NSTP melaporkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) memberi tempoh seminggu kepada pemain itu dan juga Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) untuk mengemukakan dokumen lengkap sebelum pendaftaran dibuat dan seterusnya diserapkan dalam skuad kebangsaan.

Sebelum ini FAM berasa terkilan dengan sikap acuh tak acuh PBSNT berhubung pendaftaran perancang skuad TFC itu sebagai pemain tempatan selepas sehingga kini tanpa tindakan susulan biarpun sudah diberi tempoh hampir lima bulan.

Proses itu mengambil masa agak lama disebabkan Tuck masih belum lagi menghantar permohonan secara rasmi kepada majikannya, PBSNT mengenai hasratnya itu untuk menjadi pemain tempatan.

Sukan NSTP difahamkan proses itu belum dapat diselesaikan kerana pemain itu belum mengemukakan dokumen secara sah mengenai pertalian darah dengan nenek yang berasal dari negara ini sekali gus menyukarkan lagi proses pendaftarannya sebagai warganegara Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 April 2019 @ 3:55 PM