MESSI (dua kanan) melakukan percubaan ke arah pintu gol Manchester United. — FOTO Reuters
Reuters

BARCELONA jelas lega selepas mengatasi kegagalan Liga Juara-Juara di peringkat suku akhir dengan mengalahkan Manchester United, namun Lionel Messi tetap mengkritik permulaan hambar pasukannya.

Barca mensia-siakan dua peluang awal pada suku akhir kedua di Nou Camp awal pagi tadi sebelum Messi mengemudi kemenangan 3-0 dengan dua gol pantas sebelum Philippe Coutinho meledak gol bagi menjadikan agregat 4-0.

Percubaan penyerang United, Marcus Rashford terkena palang pada minit kedua dan kemudian menyepak lemah ke arah penjaga gol Marc-Andre ter Stegen, manakala Scott McTominay meluru ke dalam kotak penalti namun dia hilang kawalan sebelum sempat menyepak bola.

Barca mengalami kekalahan mengaibkan pada suku akhir di tangan AS Roma tahun lalu sesudah melepaskan gol awal dan Messi menggesa rakan sepasukannya supaya lebih memberikan tumpuan bagi aksi Eropah berikutnya, memberi amaran pasukan lain mungkin tidak menunjukkan belas kasihan.


MESSI (kiri) meraikan jaringan bersama Coutinho. — FOTO AFP

Mesej itu lebih tepat memandangkan lawan Barca pada separuh akhir dijangka Liverpool, yang mendahului 2-0 pada suku akhir berdepan FC Porto dan mempunyai reputasi memusnahkan cabaran lawan pada awal permainan.

“Kami tidak boleh bermula begini dalam perlawanan Liga Juara-Juara,” kata Messi.

“Kami sudah katakan dari awal, kami pernah dikecewakan Roma, anda tidak boleh menyusahkan diri sendiri kerana satu kesilapan boleh menyingkirkan anda daripada pertandingan ini. Kami perlu lebih berwaspada.”

Selepas menangani ancaman awal itu, Barca mempamerkan keutuhan di benteng pertahanan dan meraih perlawanan ketiga tidak dibolosi dalam empat aksi peringkat kalah mati Liga Juara-Juara.


PENJAGA gol United, David De Gea tidak mampu menyekat percubaan Messi yang menerjah jaring. — FOTO AFP

“Kami semakin mantap di bawah, sepanjang musim kami agak bergelut di benteng tapi seluruh pasukan berusaha keras dan ia menyukarkan lawan untuk mengasak kami,” ujar Messi.

“Sudah tiga tahun kami tidak ke separuh akhir tapi kami tidak mempunyai perasaan negatif. Kami sedar kami mencipta keputusan yang bagus, kami gembira layak ke separuh akhir tapi kami perlu meneruskannya.”

Barca tidak memenangi trofi utama kelab Eropah itu sejak 2015 sekalipun mendominasi liga domestik di Sepanyol dan terpaksa menyaksikan musuh tradisi Real Madrid meraih kejuaraan Liga Juara-Juara tiga tahun berturut-turut.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 April 2019 @ 10:49 PM