WANDER Luiz (kiri) meraikan gol bersama rakan sepasukan di Jengka, malam ini. — FOTO Farizul Hafiz Awang
Mohamad Azim Fitri Abd Aziz


PEMAIN tengah dari Brazil, Wander Luiz menyelamatkan maruah Perak apabila meledak dua gol untuk menundukkan Jerantut FA 2-1 pada pusingan ketiga Piala FA di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka, malam ini.

Pelawat bagaimanapun ketinggalan 0-1 pada babak pertama apabila Firdaus Razak membuka tirai jaringan pada minit kedua masa kecederaan babak pertama menerusi sepakan percuma menarik dari luar kotak penalti.

Kelab amatur yang bermain dalam Liga M4 itu secara keseluruhannya bertindak baik apabila beberapa kali mengancam pintu gol Perak yang dikawal penjaga gol kebangsaan Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy.


FIRDAUS (kanan) diasak pemain Perak, Nor Hakim Hassan. — FOTO Farizul Hafiz Awang

Bagaimanapun, Wander Luiz menghidupkan peluang juara dua kali itu apabila menanduk masuk gol penyamaan pada minit ke-75 selepas menyudahkan hantaran lintang pemain gantian Ahmad Khairil Anuar.

Wander Luiz sekali lagi menjadi duri dalam daging buat tuan rumah apabila meledak gol kedua peribadi pada minit ke-84 selepas mudah merembat masuk bola dari penjuru kotak penalti bagi memastikan kemenangan pasukan kendalian Mehmet Durakovic.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 April 2019 @ 11:31 PM