HAFIZ (tengah) muncul wira PKNP apabila menjaringkan gol kemenangan di Manjung, malam ini. — FOTO Abdullah Yusof
Shamsul Kamal Amarudin


PKNP FC mara ke suku akhir Piala FA selepas menang tipis 3-2 ke atas PDRM di Stadium Majlis Perbandaran Manjung, malam ini.

Gol pertama PKNP diperoleh menerusi Yashir Pinto yang berjaya melepasi perangkap ofsaid sebelum menyambut hantaran lambung Hafiz Ramdan untuk merembat ke penjuru kiri gol lawan pada minit ke-16.

Pelawat bagaimanapun tidak menunggu lama untuk menyamakan kedudukan menerusi Patrick Ronaldinho enam minit kemudian.

Gol itu terhasil menerusi serangan balas pantas dengan ketua pasukan, Shahurain Abu Samah melorongkan bola dari sebelah kanan yang mudah dikuis masuk oleh Ronaldinho.

PDRM menambah gol kedua seawal minit pertama babak kedua menerusi Fauzan Fauzi yang menanduk masuk bola melantun dan terkena palang ketika keadaan kelam-kabut di depan gol PKNP.

Pemain gantian, Fazrul Hazli Kadri bagaimanapun kembali menceriakan penyokong tuan rumah pada minit ke-74 apabila menanduk masuk hantaran silang Thomas Abbey dari sebelah kiri.

Tendangan percuma Hafiz dari luar kotak penalti pada minit ke-88 menerjah jaring sudut kiri gawang lawan bagi menghasilkan gol kemenangan PKNP.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 April 2019 @ 12:02 AM