KLOPP tak sabar jumpa Barcelona. FOTO/REUTERS
AFP

JUERGEN Klopp mengakui tidak sabar membawa Liverpool ke pentas separuh akhir LIga Juara-Juara menentang Barcelona selepas menyaksikan anak buahnya membelasah Porto 4-1 di Portugal awal pagi tadi bagi melengkapkan agregat 6-1 dalam perlawanan suku akhir.

Pada malam yang dibasahi hujan di Estadio do Dragao, Liverpool melaungkan amaran awal buat Porto sebelum meledak gol pada setengah jam permainan apabila Sadio Mane mengesahkan gol sulung biarpun terpaksa menunggu lama untuk keputusan VAR.

Liverpool yang mempunyai kelebihan selepas menang 2-0 pada aksi pertama, dilihat sudah berupaya menamatkan cabaran Porto namun jaringan Mohamed Salah, pemain gantian Roberto Firmino dan Virgil van Dijk menambah jaringan pada separuh masa kedua.


Jaringan Van Dijk patahkan semangat Porto. FOTO/REUTERS

Eder Militao meledakkan gol sagu hati tuan rumah ketika perlawanan berbaki 21 minit, namun ia bagaikan mengulang kekalahan 0-5 kepada lawan sama di gelanggang itu setahun lalu.

Liverpool kini melangkah untuk perlawanan seterusnya berdepan Barcelona yang ditunjangi Lionel Messi, pertemuan pertama kedua-dua kelab sejak aksi 16 terakhir musim 2006/2007 di mana Reds menang menerusi jaringan di tempat lawan.

“Saya tidak sabar menunggunya. Berita bahawa akan ada perlawanan di antara Barcelona dan Liverpool adalah sesuatu yang hebat,” kata Klopp ketika pasukannya semakin hampir dengan pencapaian mara ke final musim lalu.

“Kemaraan ke separuh akhir buat tahun kedua berturut-turut adalah satu mesej yang kuat. Saya amat bangga dengan pemain-pemain dan apa yang mereka lakukan.”


PEMAIN Liverpool, Jordan Henderson berjaya bawa impak kepada Liverpool. FOTO/REUTERS

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 April 2019 @ 8:09 AM