PENGADIL perlawanan menyaksikan VAR sebelum membatalakan gol Sterling. FOTO/REUTERS
Reuters

SELEPAS pertembungan hebat di Stadium Etihad, Tottenham Hotspur mara ke separuh akhir Liga Juara-Juara menerusi kelebihan gol di tempat lawan susulan keputusan perlawanan Manchester City 3-4 awal pagi tadi.

Spurs yang menang aksi pertama 1-0 mara selepas keputusan agregat terikat 4-4, akan menentang Ajax untuk tiket ke final menentang Liverpool atau Barcelona selepas salah satu daripada perlawanan menakjubkan direkodkan dalam sejarah.

Pengendali Tottenham Mauricio Pochettino meramalkan pertemuan dengan skuad remaja Belanda itu akan menjanjikan perlawanan yang terbuka dan mengujakan namun mengharapkan ia lebih menghiburkan berbanding aksi awal pagi tadi yang penuh drama dan emosi.

Ia bermula dengan gaya tidak masuk akal apabila empat gol dijaringkan dalam tempoh 11 minit pertama perlawanan.


POCHETTINO bangga dengan pencapaian anak buah. FOTO/REUTERS

Perlawanan itu mempertaruhkan aksi hebat sehinggalah babak terakhir yang dramatik apabila City meraih gol ketika saat akhir menerusi Raheem Sterling, yang mungkin membawa mereka ke peringkat seterusnya namun dikira sebagai ofsaid selepas merujuk kepada VAR.

Penyokong City bersorak melihat gol yang membawa mereka ke separuh akhir sebelum ulangan permainan mengesahkan Sergio Aguero berada di kedudukan ofsaid ketika itu.

“Ia memang kejam tetapi itulah hakikatnya dan kami perlu menerimanya.” kata Guardiola yang impiannya untuk menjulang empat gelaran sudah berakhir.

Rakan sejawatannya, Pochettino yang tanpa kelibat penjaring terbanyak Harry Kane berkata pasukannya menunjukkan karakter.

“Pemain saya adalah wira. Kami mencipta sejarah,” kata Pochettino.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 April 2019 @ 8:26 AM