Sathianathan
Firdaus Hashim


KUALA LUMPUR: Macam budak tadika! Itu nada kecewa dan marah dilontarkan pengendali Selangor, B Sathianathan selepas melihat skuad kendaliannya tersingkir merebut Piala FA susulan kekalahan 2-1 di tangan FELDA United di Stadium Shah Alam, kelmarin.

Selaku finalis musim lalu, kegagalan itu pastinya amat pahit untuk ditelan apatah lagi kempen mereka kali ini tersekat seawal pusingan ketiga sekaligus gagal menempah tiket ke suku akhir.

Pada aksi kelmarin, skuad Red Giants terlebih dulu mendahului dengan jaringan Syahmi Safari sebelum The Fighters bangkit dengan dua gol menerusi Thiago Junior Aquino dan Hadin Azman.

Sathianathan berkata, strategi dan taktikal yang diarahkan kepada barisan pemain sepanjang 90 minit aksi serba tidak menjadi manakala kerapuhan di bahagian benteng pertahanan turut menjadi punca kekalahan itu.

“Saya lihat pasukan main macam budak tadika. Kita sudah ada perancangan untuk mengharungi aksi bertemu FELDA memandangkan kita turut kecewa dengan pasukan ini pada aksi Liga Super pada saingan awal musim lalu.

“Mereka hanya melakukan serangan balas pantas dan ia terjadi sekali lagi pada perlawanan ini. Pemain cuba untuk melakukan serangan tetapi mudah dipatahkan kerana mereka hanya bijak melakukan 'drible' yang tiada penyudah," katanya pada sidang media selepas perlawanan tamat.


PEMAIN FELDA, Thiago Junior (atas) menanduk bola melepasi pemain Selangor pada aksi Piala FA, semalam.

Bekas jurulatih Harimau Malaya itu turut melepaskan kemarahannya kepada tonggak import dan beliau bercadang untuk merombak pemain pada jendela perpindahan kedua bulan depan.

“Saya akan berbincang dengan pihak pengurusan kerana buat masa ini, saya tidak berpuas hati dengan prestasi beberapa pemain khususnya tonggak import kami. Mungkin akan ada rombakan pada jendela pendaftaran nanti tetapi ia bukan terletak di tangan saya.

“Apa yang pasti, saya harap pemain dapat fokus pada baki saingan Liga Super serta kempen Piala Malaysia musim ini memandangkan sasaran awal yang diletakkan kepada saya adalah untuk menjulang sekurang-kurangnya satu piala bersama Selangor,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 April 2019 @ 8:30 AM