OLTMANS (dua kiri) ketika sesi latihan skuad negara, hari ini. — FOTO Zunnur Al Shafiq
Saiful Affendy Sapran


“SAYA rasa ia bukan keputusan tepat tapi saya juga tak boleh mengubah keputusan itu.”

Demikian pandangan ketua jurulatih skuad hoki lelaki negara, Roelant Oltmans mengenai ketegasan Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) yang menolak untuk menggunakan teknologi rujukan video (video referral) pada Pusingan Akhir Siri FIH bermula 26 April ini.

Jelas pengendali dari Belanda itu, beliau serta anak buahnya tiada pilihan selain perlu menerima keputusan badan induk itu yang turut menolak rayuan Malaysia untuk menggunakan rujukan video.

“Anda boleh bercakap berjam-jam mengenai perkara ini tapi apabila FIH sudah membuat keputusan untuk tidak membenarkan penggunaan rujukan video, tidak perlu bercakap mengenainya lagi.

“Sebagai pemain anda perlu pastikan tidak memerlukannya (rujukan video) tapi pada masa sama masih mampu mencatat kemenangan.

“Apabila anda tidak boleh mengubah sebarang keputusan muktamad, maka sebagai pemain anda perlu lebih bekerja keras.

“Sebagai jurulatih juga saya perlu pastikan pemain saya melakukan persiapan terbaik,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, hari ini.

FIH menerusi kenyataan kepada rayuan MHC untuk menggunakan rujukan video sebelum ini berkata, rayuan itu terpaksa ditolak memandangkan tidak semua negara tuan rumah mempunyai sistem rujukan video.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 April 2019 @ 8:38 PM