VAN Dijk (tiga kiri) menanduk masuk gol keempat Liverpool do Estadio do Dragao. — FOTO Reuters
AFP

PERTAHANAN Liverpool, Virgil van Dijk menegaskan dia tidak boleh berdepan Lionel Messi secara berseorangan pada separuh akhir Liga Juara-Juara menentang Barcelona.

Van Dijk dicalonkan untuk anugerah pemain terbaik tahunan di England kerana kesan dibawanya terhadap Liverpool sejak menjadi pertahanan termahal dunia apabila berpindah dari Southampton dengan nilai £75 juta (RM405 juta) Januari tahun lalu.

Bagaimanapun, pemain Belanda itu percaya usaha sepasukan diperlukan untuk mengekang Messi, yang sudah menjaringkan 45 gol musim ini, dua daripadanya membantu Barca menewaskan Manchester United 4-0 secara agregat untuk mara ke kelompok empat terakhir.

“Saya rasa dia pemain terbaik dunia tapi anda perlu tunggu dan lihat. Ia menjadi perlawanan yang hebat buat kami,” kata Van Dijk, yang turut menjaringkan gol ketika Liverpool mengatasi FC Porto 4-1 untuk melengkapkan kemenangan dengan agregat 6-1.

“Semuanya berkaitan bagaimana untuk melakukannya bersama, ia bukan satu lawan satu, ia bukan mengenai saya mengekang seorang penyerang.

“Ia sentiasa mengenai kami menentang setiap pemain dan saya rasa hanya itu cara kami boleh bertahan dengan baik.”

Pertahanan Liverpool bertambah baik bagi saingan Liga Juara-Juara dan Liga Perdana Inggeris dengan kehadiran semula Joe Gomez.

Gomez berpasangan baik dengan Van Dijk awal musim ini sebelum patah kaki pada Disember lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 April 2019 @ 12:39 AM