PEMAIN JDT, Safawi Rasid (tengah) diasak pemain PKNS FC, Rodney Celvin Akwensivie dalam aksi Piala FA di Larkin, kelmarin.
Ifwan Tun Tuah


JOHOR BAHRU: Bukan nasib, sebaliknya pengendali PKNS FC, Datuk K Rajagobal menganggap kemampuan pemainnya mengikut percaturan taktikal membantu pasukannya mengejutkan skuad pilihan, Johor Darul Ta’zim (JDT) yang terpaksa bermain dengan 10 pemain, di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, di sini, malam kelmarin.

Beliau berkata, semua pemainnya menunjukkan prestasi baik untuk mengekang kemaraan JDT yang mempunyai reputasi cemerlang, lebih-lebih lagi di hadapan ribuan penyokong di laman sendiri.

“Walaupun tahu JDT adalah sebuah pasukan kuat, kita datang dengan pemikiran positif untuk menang. Saya lihat semua pemain menunjukkan komitmen yang cukup tinggi dan bermain dengan baik.

“Kemenangan ini bukan disebabkan nasib kerana kita dapat lihat beberapa kali kita berjaya menembusi pertahanan lawan dan Kpah Sherman berhadapan satu lawan satu dengan penjaga gol.

“Tidak dinafikan nasib juga penting dalam perlawanan, tapi saya mahu katakan kemenangan ini bukan disebabkan nasib. Pemain saya bemain dengan baik menentang pasukan yang sangat kuat,” katanya selepas perlawanan itu.

Kemenangan 1-0 hasil jaringan Sherman pada minit ke-49 yang menewaskan penjaga gol Mohd Izham Tarmizi Roslan itu membolehkan PKNS mara ke suku akhir Piala FA.

Mengulas mengenai kad merah yang dilayangkan kepada pertahanan JDT, Kiko Insa pada minit ke-10 selepas mengasari pemainnya, Muhamad Faizat Mohamad Ghazali, Rajagobal berkata, tiada perubahan taktikal dilakukan selepas itu.

“Selepas Insa dilayangkan kad merah, saya ada fikir untuk melakukan sesuatu, namun kita sedar JDT mempunyai pemain berkualiti di semua bahagian.

“Tanpa seorang pemain pun mereka masih mampu memberi tekanan kepada kita. Jadi, saya arahkan semua pemain supaya kekalkan disiplin dan jangan beri ruang kepada lawan untuk melakukan gerakan kerana kita tahu mereka mempunyai kemahiran individu yang cukup baik,” katanya.

Sementara itu, Pengurus JDT, Luciano Fugueroa, mengucapkan terima kasih kepada semua pemainnya yang bermain dengan bersungguh-sungguh walaupun tanpa Insa.

“Keadaan sangat sukar kerana kita kehilangan seorang pemain pada awal permainan, namun semua pemain tetap cuba memberikan yang terbaik,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 April 2019 @ 8:00 AM