LACAZETTE (tengah) ledak gol tunggal perlawanan. FOTO/AFP
AFP

ALEXANDRE Lacazette meledak gol tunggal bagi membolehkan Arsenal menyingkirkan Napoli 1-0 awal pagi tadi untuk mara ke separuh akhir Liga Europa dengan agregat 3-0.

Sepakan percuma Lacazette pada minit ke-36 meletakkan kelab Inggeris itu untuk pertemuan dengan kelab Sepanyol Valencia.

“Saya tidak tahu sama ada ia persembahan terbaik kami musim ini, tetapi ia bagus, teruatamanya selepas menewaskan Watford pada Isnin,” kata jurulatih Arsenal, Unai Emery.

“Matlamat kami adalah untuk menjaringkan gol, kami melakukannya, untuk menang dan kekal konsisten sepanjang 90 minit.

“Saya berbangga dengan semua pemain, bangga dengan kerja kami. Pemain kami menunjukkan personaliti.”

Penyingkiran Napoli kendalian Carlo Ancelotti bermakna tiada lagi kelab Itali yang beraksi di kejohanan Eropah musim ini.

“Kami sedar ia akan menjadi lebih sukar dan minta maaf, tiada lagi pasukan Itali,” kata Ancelotti selepas Juventus tersingkir daripada Liga Juara-Juara di tangan Ajax awal pagi Rabu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 April 2019 @ 8:02 AM