JUVENTUS (jersi hitam putih) mahu segera julang Scudetto buat kali ke-35. FOTO/REUTERS
AFP

JUVENTUS kini mahu melupakan satu lagi episod kecewa di Liga Juara-Juara dengan fokus mahu mengesahkan kejuaran Serie A buat kali kelapan berturut-turut di laman sendiri awal pagi Ahad.

Skuad Massimiliano Allegri menanti kunjungan Fiorentina dan hanya memerlukan satu mata untuk menjulang Scudetto buat kali ke-35, beberapa hari selepas tewas 1-2 (2-3 secara agregat) kepada Ajax.

Kelab gergasi Turin itu menjulang Scudetto lebih daripada mana-mana pasukan di Itali dengan AC Milan dan Inter Milan di tangga kedua dengan masing-masing mengumpul 18 gelaran.

Pemenang Ballon d’Or lima kali Cristiano Ronaldo mungkin terpaksa berpuas hati dengan gelaran Serie A pada musim pertamanya di Itali selepas gagal menjulang Liga Juara-Juara keenamnya.

Pemain berusia 34 tahun itu sukar dipujuk selepas tewas kepada Ajax dan terus membisu di media sosial, apabila ledakan hatrik ketika menewaskan Atletico Madrid dalam kelompok 16 terakhir dan dua tandukan pada dua aksi suku akhir menentang Ajax gagal membantu pasukan.

“Dia memberitahu saya dia tidak memberikan keajaiban,” kata ibunya Dolores Aveiro kepada media Portugal.

“Dia begitu sedih. Dia mahu ke final tetapi mungkin lain kali.”

Juventus boleh menyamai rekod bagi kelab pertama menjulang gelaran dengan baki lima perlawanan seperti dilakukan Torino pada 1948, Fiorentina pada 1956 dan Inter Milan pada 2007.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 April 2019 @ 8:40 AM