Hazard akan sertai skuad Zidane. FOTO REUTERS
La Liga

PENYERANG Chelsea Eden Hazard akan menjadi pemain ketiga ditandatangani oleh Real Madrid menjelang saingan liga musim depan.

Pemain handalan Belgium itu akan menyertai Rodrygo Goes dan Eder Militao beraksi bersama kelab gergasi Sepanyol itu.

Persetujuan tiga pihak terbabit akan diadakan secara rasmi dalam masa beberapa hari lagi.

Pengurus Real, Zinedine Zidane sebelum ini memberi cadangan kepada Presiden kelab, Florentino Perez untuk membawa Hazard ke Sepanyol dan beliau bersetuju berbuat demikian sekiranya pemain lincah terbabit sudah mencapai tahap pemain elit.

Hazard memulakan karier bersama kelab Perancis, Lille sebelum beraksi dalam Liga Perdana Inggeris (EPL).

Sebaik musimnya bersama Chelsea berakhir, Hazard akan berhijrah ke Los Blancos manakala perancang Borussia Dortmund, Christian Pulisic akan mengambil alih tempatnya di Stamford Bridge.

Pada masa sama, Chelsea sudah mengemukakan rayuan terhadap pengharaman perpindahan pemain dengan meminta ia ditangguhkan sehingga jendela perpindahan berikutnya.

Langkah itu bertujuan bagi membolehkan mereka mendapat sedikit ruang untuk menguruskan rundingan pemain.

Hazard sebelum ini menolak tiga kontrak baru ditawarkan kelab England itu dan sentiasa mahu beraksi bersama Real Madrid.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 April 2019 @ 12:51 PM