VICTORIA (kiri) dan Ashleigh bentuk gandingan mantap. FOTO/AGENSI
VICTORIA (kiri) dan Ashleigh bentuk gandingan mantap. FOTO/AGENSI
AFP

Ashleigh Barty pastinya gembira apabila gandingannya dalam acara beregu dan juara kejohanan utama dua kali Victoria Azarenka kembali ke puncak prestasi tetapi berharap ia tidak berlaku minggu ini apabila negara kedua-dua pemain iaitu Australia dan Belarus menempah tiket ke final Piala Fed.

Ashleigh dan Victoria berganding musim ini, mara ke separuh akhir acara beregu wanita di Terbuka Miami, beberapa hari sebelum pemain Australia itu menjulang gelaran individu yang melonjakkannya ke kelompok 10 terbaik dunia.

Kini Ashleigh membawa harapan Australia untuk mara ke final Piala Fed sejak 1993 di mana mereka menentang naib juara 2017, Belarus di Brisbane pada Sabtu dan Ahad ini.

Kedua-duanya diundi untuk bertemu satu sama lain dalam acara perseorangan kedua di mana Victoria menjadi pilihan berbanding rakan sepasukannya yang mempunyai ranking lebih tinggi Aliaksandra Sasnovich.

Australia juga memilih pemain berpengalaman di mana bekas juara Terbuka AS Samantha Stosur, yang membuat penampilan sulung Piala Fed pada 2003, sebagai pemain pertama berbanding Daria Gavrilova, menentang pemain nombor 10 dunia Aryna Sabalenka.

“Jelas sekali dia pemain yang sukakan situasi penuh tekanan,” kata Ashleigh mengenai Victoria, 29, pemain ranking 61 dunia yang tidak asing di negara ‘Down Under’ selepas menjulang Terbuka Australia pada 2012 dan 2013.

“Lebih sengit saingan, lebih baik bagi dirinya. Saya fikir ia tidak mengambil masa yang lama sebelum dia kembali ke tahap terbaiknya sekali lagi.”

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 April 2019 @ 1:09 PM