Dr Siti Faidul bersama pasukan bola sepak wanita Melaka. FOTO Nazri Abu Bakar
Nazri Abu Bakar


MELAKA menyenaraikan 13 pemain kebangsaan membarisi pasukan itu bagi mengharungi Kejuaraan Piala Tun Sharifah Rodziah musim ini.

Skuad terbabit akan membuka tirai kejohanan berdepan Selangor, Ahad ini di Gambang, Pahang jelas berazam menebus kehampaan tewas pada final kepada Kedah musim lalu.

Pengurus Melaka, Dr Siti Faidul Maisarah Abdullah, berkata antara pemain terbabit termasuk kapten kebangsaan, Shereilynn Elly Pius, selain dibarisi Dadreee Rofinus, Jaciah Jumilis dan Nurul Azurin Mazlan yang masing-masing merekod pencapaian menarik bersama pasukan negara.

Katanya, pengalaman mereka mampu memberi pulangan lumayan dalam usaha pasukan untuk mencatat sejarah muncul juara kejohanan berprestij terbabit buat pertama kali.

“Selepas melakar sejarah muncul naib juara pertama selepas lebih 50 tahun kejohanan terbabit diperkenalkan sudah pasti ini kesempatan terbaik untuk terus melakar kejayaan baharu bagi pencapaian pasukan Hang Tuah.

“Apapun saingan tetap sengit daripada semua pasukan bertanding berikutan setiap lawan juga memiliki strategi dan perancangan tersendiri untuk meraih kejuaraan,” katanya.

Beliau berkata, kali ini skuad berkenaan hanya menyenaraikan 20 pemain berbanding 30 pemain yang bersama pasukan 2018. Namun walaupun dengan jumlah pemain yang lebih kecil, tetapi skuad terbabit dilihat lebih berkualiti di bawah bimbingan jurulatih, Jamil Hassan dan pembantunya, Zulkafly Harun.

Siti Faidul Maisarah berkata, kekurangan bajet menyertai kejohanan bukan alasan untuk tampil cemerlang tambahan Persatuan Bolasepak Melaka (MUSA) berjanji memberi pulangan berbaloi jika muncul juara.

Beliau berkata pada sidang media di Stadium Hang Jebat sebelum bertolak ke Gambang, hari ini.

Hadir naib pesiden MUSA, Mohd Ashiq Abd Samad dan Setiausaha Agung MUSA, Farhan Ibrahim.

Sementara itu, Farhan berkata, dia yakin skuad kali ini mampu mencapai kejayaan besar sekali gus mencatat sejarah baharu Melaka di liga berkenaan.

Katanya, komitmen tinggi pengurusan , pemain dan jurulatih dengan latihan agresif sejak lebih dua bulan lalu dijangka bakal memberi berita gembira pada penyertaan kali ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 April 2019 @ 3:51 PM