Aida Adilah Mat


GIMNAS negara, Amy Kwan tidak mahu membuang masa dan jika boleh ingin segera menjalani latihan selepas berehat hampir lima bulan.

Dia yang menjalani pembedahan pergelangan kaki kiri pada Disember lalu sepatutnya memerlukan tempoh sehingga enam bulan untuk kembali cergas sepenuhnya namun nalurinya memanggil untuk segera turun gelanggang latihan.

Amy mengakui rindu untuk memegang alatan gimrama berkata, biarpun masih dalam proses pemulihan, dia akan turun menjalani latihan ringan bermula minggu depan.

"Saya masih lagi dalam proses pemilihan. Ada kalanya sakit itu masih terasa jika saya terlebih melakukan senaman tapi saya akan cuba dulu sedikit demi sedikit berlatih.

"Jika boleh saya tidak mahu terlepas peluang beraksi di Sukan SEA Filipina dan akan cuba melakukan yang terbaik," katanya.

Amy, 24, antara gimnas terbaik negara dengan pencapaian dua emas dan dua perak di Sukan SEA Kuala Lumpur, selain turut cemerlang di temasya Komanwel apabila meraih emas acara riben, perak (berpasukan dan individu keseluruhan) serta gangsa (gelung).

Kejayaannya di Sukan Komanwel membolehkan dia tersenarai sebagai calon Olahragawati Kebangsaan 2018 buat pertama kali sejak bergelar atlet gimrama negara pada majlis yang akan berlangsung pada 23 April ini.

Andai berjaya dinobatkan sebagai Olahragawati ia melengkapkan kejayaan kariernya sebagai atlet gimnastik berirama selepas dinobatkan sebagai Olimpian Negara tahun lalu dan satu pengiktirafan buat semua atlet gimrama negara.

Bagaimanapun Amy tidak mahu menaruh harapan tinggi kerana mengakui atlet yang tercalon untuk anugerah itu cukup hebat.

Selain Amy, turut di calon merebut anugerah Olahragawati Kebangsaan adalah Siti Zalina Ahmad (boling padang), S Sivasangari (skuasy), Aaliyah Yoong Hanifah (ski air), Siti Safiyah Abdul Rahman (boling) dan Tan Li Lian (bina badan).

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 April 2019 @ 5:09 PM