NOVAK Djokovic. FOTO Valery Hache / AFP
NOVAK Djokovic. FOTO Valery Hache / AFP
AFP

PEMAIN nombor satu dunia Novak Djokovic tersungkur di tangan Daniil Medvedev manakala Rafael Nadal melepasi cabaran sengit untuk mara ke separuh akhir Monte Carlo Masters buat kali ke-14 awal pagi tadi.

Djokovic, juara dua kali di kejohanan itu kehilangan servis lima kali ketika tewas 6-3, 4-6, 6-2 kepada pilihan ke-10 dari Russia Medvedev.

Nadal, juara 11 kali kejohanan itu bangkit daripada ketinggalan 1-4 pada set pertama sebelum menundukkan pemain Argentina Guido Pella 7-6 (7/1), 6-3.

Pemain Sepanyol itu akan menentang Itali Fabio Fognini pada suku akhir awal pagi esok, yang bangkit untuk menewaskan pilihan kesembilan dari Croatia Borna Coric 1-6, 6-3, 6-2.

Nadal mencatat rekod kemenangan 11-3 dalam pertemuan mereka, menang enam perlawanan terakhir.

Bagi Djokovic yang menang gelaran Terbuka Australia ketujuh pada Januari, kekalahan itu menandakan satu lagi penyingkiran awal selepas tewas pada pusingan awal di Indian Wells dan Miami bulan lalu.

Pemain Serbia yang menang tiga kejohanan Grand Slam terakhir dan mungkin menyapu bersih semua kejohanan utama dengan satu lagi gelaran di Roland Garros, berpendapat apa yang diperlukan adalah lebih banyak masa di gelanggang dan memperkemaskan permainannya.

“Terbuka Perancis adalah matlamat utama di gelanggang tanah liat. Saya dijangka mencapai tahap kemuncak pada kejohanan itu kerana itulah sasaran saya,” kata Djokovic.

“Ini kejohanan pertama di gelanggang tanah liat dan musim ini masih panjang. Kita lihat apa akan berlaku nanti.”

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 April 2019 @ 12:05 PM