Nicol David. FOTO NSTP.
Aida Adilah Mat


LANGKAH ratu skuasy negara, Datuk Nicol David terhenti pada pusingan kedua Kejohanan Antarabangsa El Gouna di Mesir apabila tewas kepada pemain nombor satu dunia, Raneem El Welily.

Nicol yang mengumumkan persaraannya selepas tamatnya siri Jelajah PSA Jun ini akur akan kehebatan Raneem yang menundukkannya dalam tempoh 25 minit.

Tewas 4-11, 9-11, 8-11, Nicol sememangnya tahu akan kemampuan Raneem ketika pemain lawan itu mempunyai kelebihan bermain di gelanggang sendiri.

"Saya mempunyai banyak kenangan indah di Mesir. Saya juga berdepan satu perlawanan yang menarik dengan Raneem. Menamatkan perlawanan di Mesir menentang dia adalah sesuatu yang sangat istimewa.

"Dia berada di tahap dan prestasi terbaik ketika ini. Dia baru saja muncul juara minggu lalu dan kini bergelar pemain nombor satu dunia.

"Jadi saya perlu bijak menggunakan peluang yang ada kerana saya tahu Raneem akan ambil peluang itu jika saya tidak melakukannya namun saya akur kemenangan berpihak kepadanya," katanya.

Masih ada dua lagi kejohanan dalam kalender Jelajah PSA iaitu Terbuka Manchester (9-13 Mei) dan Terbuka British (20-26 Mei) sebelum Siri Akhir Jelajah Dunia berlangsung dari 8 hingga 13 Jun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 April 2019 @ 8:09 PM