Pemain pertahanan Liverpool, Virgil van Dijk. FOTO AFP
AFP

LIVERPOOL dan Manchester City mendominasi senarai pendek anugerah Pemain Terbaik Persatuan Pemain Bolasepak Inggeris (PFA) dengan pertahanan Belanda, Virgil Van Dijk dan penyerang England, Raheem Sterling menjadi calon pilihan.

Pemain pertahanan Liverpool Van Dijk menyertai rakan sepasukannya Sadio Mane dalam senarai itu, manakala penyerang City, Sterling berada dalam senarai bersama rakan sepasukan Sergio Aguero dan Bernardo Silva.

Bintang Chelsea, Eden Hazard melengkapkan senarai kempen 2018-19, dengan pemenang akan diumumkan pada 28 April ini pada majlis anugerah PFA di London.

Van Dijk yang dibeli dari Southampton pada Januari 2018 menjadi tonggak di bahagian pertahanan Liverpool dan membantu kelab itu mengharungi 18 perlawanan tanpa bolos musim ini.

Selain turut meledak tiga gol, gawang Liverpool hanya bolos 20 kali, paling sedikit dalam kempen Liga Perdana musim ini.

Pemain kebangsaan Senegal, Mane yang turut tersenarai disamping rakan sepasukannya dan pemenang, Mohamed Salah musim lalu menikmati musim yang menakjubkan bersama skuad Jurgen Klopp bagi kempen 2018-19 selepas menjaringkan 18 gol.


Pemian Manchester City Raheem Sterling. FOTO AFP.

Sterling pula menjadi antara tonggak skuad kendalian Pep Guardiola selepas meledak 17 gol selain sembilan umpanan musim ini.

Selain itu, Sterling dan Silva yang kedua-duanya berusia 24 tahun turut disenarai pendek bagi anugerah Pemain Muda Terbaik PFA.

Turut bersaing bagi kategori berkenaan ialah pertahanan Liverpool, Trent Alexander-Arnold, pemain tengah West Ham, Declan Rice, pemain sayap Bournemouth, David Brooks dan penyerang Manchester United, Marcus Rashford.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 April 2019 @ 10:30 PM