RONALDO komited kekal bersama Juve. FOTO/AGENSI
AFP

CRISTIANO Ronaldo berkata dia ‘kekal 1,000 peratus komited untuk kekal’ di Juventus musim ini apabila menjulang gelaran Serie A pertama dan Juventus mengumpul gelaran kelapan berturut-turut awal pagi tadi.

Skuad kendalian Massimiliano Allegri hanya memerlukan satu lagi mata untuk gelaran Scudetto ke-15 dan kejayaan itu sedikit sebanyak melegakan kepedihan akibat tersingkir di Liga Juara-Juara di tangan Ajax di Stadium Juventus awal pagi Rabu lalu.

Kebangkitan mereka untuk menang 2-1 ke atas Fiorentina sudah cukup untuk memberikan kelebihan 20 mata ke atas pesaing terdekat mereka Napoli dengan baki lima perlawanan.

Pertahanan Serbia Nikola Milenkovic meletakkan Fiorentina di depan kurang enam minit selepas sepak mula.

Namun tandukan Alex Sandro pada minit ke-37 dan jaringan ke gawang sendiri oleh pertahanan Fiorentina German Pezzella selepas hantaran Ronaldo pada minit ke-53 mengesahkan satu lagi gelaran untuk melegakan kekecewaan di pentas Eropah.

“Ia satu musim yang hebat dan saya berjaya menyesuaikan diri dengan baik,” kata Ronaldo.

“Kami menang Scudetto dan Piala Super Itali dan ia bukan mudah untuk dicapai,” kata Ronaldo.

“Kempen Liga Juara-Juara kami tidak menjadi tetapi kami mahu membuka lembaran tahun depan dan semua penyokong mahukannya, begitu juga dengan kami.

“Saya kekal di Juve, 1,000 peratus.”

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 April 2019 @ 8:27 AM