Penjaga gol Negeri Sembilan gagal menepis bola percubaan dari penyerang Kelantan untuk jaringan gol pertama dalam aksi Liga Perdana. FOTO Fathil Asri.
Attirmidzie Rahman


PENGENDALI Kelantan, Yusri Che Lah terkilan dan kecewa selepas anak buahnya menjadi pasukan belasahan Negeri Sembilan dalam aksi Liga Perdana di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, malam tadi.

Tanpa berselindung, Yusri akui terkejut keyakinan dipamerkan anak buahnya seakan longlai sehingga dibelasah dengan begitu mudah pihak lawan.

Katanya, dalam tempoh dua hari, dia tidak mampu mengubah corak permainan pasukan itu.

"Ketiadaan sebilangan besar pemain seperti Nik Akif Syahiran, Nik Azli, Azwan Aripin dan Cassio membuktikan tiada tanda kebangkitan pemain dalam perlawanan itu.

“Saya tidak dapat menerima kekalahan ini. Saya hairan ke mana hilangnya corak jati diri sebenar pemain dan ini bukan prestasi sebenar anak jati Kelantan yang terkenal dengan semangat juang tinggi.

“Saya tidak salahkan mana-mana pihak cuma pemain harus sedar mereka bukan berada pada tahun 2018, ini 2019 mereka perlu segera bangkit dari episod kekalahan agar tidak tercicir mata dan terus terperosok di dasar liga musim ini," katanya.

Beliau turut berasa hairan dengan kehadiran pemain import seperti Mustafa Zazai yang berada dalam pasukan ini.


Yusri Che Lah. FOTO NSTP.

“Dia (Zazai) tidak memiliki kualiti seorang penyerang import yang terbaik.

"Jika dibandingkan dengan bekas penyerang import sebelum ini, Cristiano Santos nyata lebih baik kerana memiliki kemahiran kawalan bola dan sering mencipta peluang untuk pemain lain menjaringkan gol,” katanya.

Pada aksi Liga Perdana malam tadi, tuan rumah terus kempunan mencatat kemenangan musim ini selepas tewas 2-5 dengan Negeri Sembilan.

Sementara itu, Ketua jurulatih Negeri Sembilan, Mat Zan Mat Aris berkata, dia tidak menjangka dapat mencapai kemenangan dengan jaringan besar ketika beraksi di tempat lawan.

"Saya memuji Ferris Danial yang memainkan peranan lebih berkesan di bahagian serangan dan mampu memberi tekanan kepada benteng lawan seterusnya berjaya melakar jaringan hatrik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 April 2019 @ 5:15 PM