Aksi Muhammad Azroy Hazalwafie ketika melakukan angkatan pada Kejohanan Angkat Berat Asia di China.
Aida Adilah Mat


ATLET angkat berat negara, Muhammad Azroy Hazalwafie Izhar Ahmad, 25, memenangi dua perak dan satu gangsa di Kejohanan Angkat Berat Asia di China, hari ini.

Muhammad Azroy Hazalwafie atau lebih mesra disapa Wafi meraih perak dalam acara snatch hasil angkatan 112 kilogram (kg), gangsa clean and jerk 136kg dan satu lagi perak 248kg untuk keseluruhan angkatan.

Kejayaan itu menamatkan penantian negara untuk mendapatkan pingat selama 11 tahun dalam sukan angkat berat di peringkat Asia selepas kali terakhir atlet negara memenanginya pada 2008 di Jepun menerusi idolanya, Amirul Hamizan Ibrahim.

Atlet kelahiran Pahang yang pernah memenangi pingat emas Sukan Komanwel Gold Coast itu menyifatkan ia satu kejayaan yang menggembirakan apabila berjaya mengulangi pencapaian Amirul di peringkat Asia.

"Ia sesuatu yang tidak dijangka. Selepas kembali daripada penggantungan kejayaan ini cukup manis.

"Saya akan terus berusaha mengembalikan martabat sukan ini di peringkat tertinggi justeru jika boleh saya mahu menjadi atlet pertama menang pingat di Kejohanan Dunia nanti," katanya.

Pada kejohanan yang berlangsung Ningboa, China itu pingat emas dalam kategori 55kg diungguli atlet Arab Saudi, Al Saleem Mansor dengan jumlah angkatan 226 kg (snatch 122kg, clean and jerk 140kg) manakala gangsa, Chontey Aril dari Kazakhstan, 246 kg (snatch 113k, clean and jerk 131kg)

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 April 2019 @ 9:26 PM