Pemain Kedah, Fernando Rodriguez (kanan) dihalang pemain Melaka United, Wan Amirul Afiq Wan Ab Rahman (kiri) dalam aksi Liga Super. FOTO Rasul Azli Samad.
Nazri Abu Bakar


JARINGAN tunggal pemain import dari Brazil, Anselmo Casagrande memastikan Melaka United (MU) mencatat kemenangan ke atas Kedah, 1-0 di Stadium Hang Jebat, Paya Rumput, malam ini.

Kedua-dua pasukan mempamerkan aksi hambar pada awal permainan sebelum mengubah rentak menarik hanya pada minit ke-23 menerusi percubaan kencang import pelawat Jonatan Bauman dan kapten pasukan Baddrol Bakhtiar seminit selepas itu namun berjaya diselamatkan penjaga gol Khairul Fahmi Che Mat.

Dua gerakan terbabit jelas membuka nafsu pelawat untuk terus mengasak hebat ke kubu tuan rumah dalam usaha meraih gol pertama perlawanan sekali gus menguasai permainan.

Bagaimanapun Baddrol gagal memanfaatkan dua sepakan percuma pada minit ke -25 dan 34 yang tersasar melepasi palang gol.

Peluang terbaik buat MU menghasilkan gol pertama hanya hadir pada minit ke-38 namun tandukan Patrick Reichelt yang menerima hantaran Deevan Raj sedikit tinggi di kanan gawang Lang Merah.

Skuad Hang Tuah menampilkan kebangkitan selepas Anselmo Casagrande menanduk masuk gol tunggal perlawanan menerusi sepakan sudut Safiq Rahim pada minit ke-49 permainan.

Pemain gantian tuan rumah, Nazrin Nawi hampir menambah gol kedua pada minit ke-67 namun sepakan bebasnya berjaya ditepis keluar penjaga gol, Mohd Ifwat Akmal.

Kemenangan itu ternyata melegakan MU selepas mencatat keputusan kurang memberangsangkan sebelum ini termasuk tewas 0-1 kepada PKNP minggu lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 April 2019 @ 11:11 PM