MBAPPE meraikan jaringannya di Parc des Princes, Paris. - FOTO Reuters
AFP

KYLIAN Mbappe menegaskan komitmen masa depannya bersama juara Ligue 1, Paris Saint-Germain selepas menjaringkan hatrik ketika menewaskan Monaco 3-1 awal pagi tadi di Paris yang turut menyaksikan bintang mereka, Neymar kembali beraksi.

"Saya di sini, saya mengesahkan projek itu, “ kata Mbappe yang dikaitkan dengan Real Madrid.

"Bagus untuk Real Madrid dengan adanya Zizou (Pengurus Madrid Zinedine Zidane), saya akan menonton aksi mereka sebagai peminat.”

Hatrik Mbappe yang juga jaringannya yang ke-30 dilakukan selepas PSG dinobatkan juara untuk kali keenam dalam tempoh tujuh tahun apabila pencabar terdekat mereka, Lille keciciran mata.


AKSI Mbappe menjaringkan gol ketiga. - FOTO AFP

Seri tanpa jaringan di Toulouse menyebabkan Lille 16 mata di belakang PSG dengan baki lima perlawanan dan keputusan itu disambut dengan meriah oleh pasukan tuan rumah yang gagal meraikannya lebih awal dalam tiga aksi sebelum ini.

"Saya gembira, musim ini belum berakhir dan saya mahu menjaringkan lebih banyak gol,” kata Mbappe.

Neymar yang masuk menggantikan Layvin Kurzawa pada babak kedua disambut gemuruh penyokong mereka selepas ketiadaan bintang Brazil itu yang mengalami kecederaan kaki kanan pada 23 Januari lalu.

Edinson Cavani turut beraksi pada babak kedua, bermakna PSG kembali mempunyai trio digeruni lawan dalam aksi pagi tadi.

Mbappe tetap berbisa tanpa kelibat Neymar pada babak pertama selepas menjaringkan dua gol sebelum rehat, pertama pada minit ke-15 gol dan gol kedua minit ke-79 selepas menerima hantaran cantik Dani Alves.

Pemenang Piala Dunia itu kemudiannya melengkapkan hatrik sembilan minit selepas rehat apabila menolak bola masuk ke gawang selepas mendapat hantaran rendah Alves.

Aleksandr Golovin menjaringkan gol sagu hati pasukan pelawat yang kekal di tangga ke-16 dan empat mata di atas slot play off zon penyingkiran.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 April 2019 @ 7:26 AM