AKSI menarik Richarlison ketika menjaringkan gol Everton. - FOTO Reuters
Agensi

PENGURUS Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer mengakui tidak mengetahui sama ada pemainnya mempunyai semangat untuk beraksi selepas dibelasah Everton semalam.

United mengalami kekalahan keenam dalam lapan aksi apabila tewas di Goodison Park sekaligus menjejaskan impian menduduki kelompok empat teratas dan wajib memanfaatkan peluang ketika melayan kunjungan Manchester City dan Chelsea pada baki perlawanan.

Ketika ditanya sama ada beliau percaya pemainnya masih bersemangat untuk beraksi, Solskjaer berkata: “Saya tak tahu. Anda perlu bertanya kepada mereka. Anda tidak akan mendapat jawapan daripada saya tetapi jika anda mahu bermain dengan kelab ini, anda perlu lakukan lebih daripada itu.


SOLSKJAER sugul selepas tewas di Goodison park. - FOTO Reuters

"Kami tidak boleh ubah keseluruhan skuad. Satu langkah pada satu masa. Saya boleh mencapai kejayaan di sini dan akan ada pemain yang tidak berada di sini ketika itu.”

Solskjaer meminta maaf kepada penyokong United di Goodison Park yang terus menyanyi selama 90 minit walaupun mereka menyaksikan kekalahan terbesar pasukan sejak 2016.

Pengendali dari Norway itu perlu segera memulihkan kembali moral pemainnya menjelang kunjungan City di Old Trafford pada awal pagi Khamis ini dan menentang Chelsea empat hari kemudian.

"Inilah insentif terbesar kami, kedua-dua aksi di Old Trafford di hadapan penyokong fantastik kami,” kata Solskjaer.

"Kami perlu fokus dua perlawanan ini dan meraih mata untuk menduduki empat teratas. Nampak mudah berkata tetapi kami perlu terus memandang ke hadapan.”

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 April 2019 @ 11:15 AM